Mandarin: Majikan swasta digesa akur teguran TPM
Pelbagai pihak meminta syarikat swasta menghentikan diskriminasi kaum dalam pengambilan pekerja baru dengan bertopengkan syarat 'kemahiran berbahasa Mandarin'.
Pelbagai pihak meminta syarikat swasta menghentikan diskriminasi kaum dalam pengambilan pekerja baru dengan bertopengkan syarat 'kemahiran berbahasa Mandarin'.
Mereka mendakwa amalan itu boleh menjejaskan hubungan kaum di negara ini.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Tan Sri Rahim Thamby Chik berkata, majikan swasta mempunyai agenda tersendiri apabila mengenakan syarat tersebut, iaitu mahu memastikan hanya satu-satu kaum sahaja mendapat kerja di syarikat mereka.
"Syarat bahasa Mandarin itu adalah satu usaha untuk menutup pintu bagi kaum lain mendapat peluang pekerjaan dan maju dalam bidang ekonomi,"katanya.
Katanya, perkara ini berlaku kerana kaum tertentu menguasai ekonomi negara dan mereka boleh mengenakan syarat sedemikian rupa.
"Harus diingat bahawa orang Cina berjaya dalam ekonomi kerana adanya perkongsian kuasa politik membabitkan semua kaum di negara ini," katanya.
Rahim berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak semalam yang menegur sikap majikan swasta mengenakan syarat kemahiran berbahasa Mandarin untuk bekerja dengan syarikatnya.
Rahim yang juga Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) berkata, sikap yang ditunjukkan oleh syarikat swasta itu adalah tidak patriotik kepada negara.
Sehubungan itu beliau mahu parti politik kaum Cina mengambil langkah menasihatkan majikan kaum Cina berubah menjadi `syarikat Malaysia' yang memberi peluang yang sama kepada kaum lain.
Presiden Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputera Kuala Lumpur, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin pula berkata, syarat "kemahiran berbahasa Mandarin" itu bukan perkara baru.
" Ia sudah lama berlaku tetapi semakin berleluasa kebelakangan ini," ujarnya.
Diskriminasi kaum
Katanya, ketika Dasar Ekonomi Baru (DEB) dikuatkuasakan dulu, ramai pengurusan kanan syarikat swasta terdiri dari orang Melayu, tetapi kini semakin berkurangan.
"Ini satu bentuk diskriminasi yang bertujuan untuk memberi peluang kepada satu kaum dan mengenepikan kaum-kaum lain," katanya.
Raja Nong Chik berkata, jika perkara ini berterusan ia boleh menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan masyarakat negara ini.
Katanya, meskipun perdagangan antara Malaysia dengan China, Hong Kong dan Taiwan berkembang pesat ini bukan alasan untuk syarikat milik kaum Cina mengepikan pekerja kaum lain.
Sementera itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Abdul Rahman Bakar pula berkata, majikan Cina mempunyai agenda tersendiri apabila mengenakan syarat bahasa Mandarin dalam pengambilan pekerja.
Bagaimanapun, katanya, tindakan sedemikian rupa tidak melanggar undang-undang buruh negara dan pihaknya tidak boleh mengambil tindakan ke atas majikan terbabit.
"Tindakan tersebut bertujuan menyekat kaum Melayu dan India daripada mendapat pekerjaan di syarikat mereka," katanya ketika dihubungi hari ini.
Abdul Rahman berkata, majikan Cina perlu bersikap terbuka kerana masyarakat Malaysia berbilang keturunan dan bahasa ibunda tidak wajar dijadikan pra syarat untuk mendapatkan pekerjaan di syarikat mereka.

