mk-logo
Berita
Covid-19 tunjuk sikap terburuk warga M'sia di Twitter - Kajian
Diterbitkan:  Apr 4, 2020 12:12 PM
Dikemaskini: 4:17 AM

Semakin menularnya wabak Covid-19, ciapan-ciapan berbaur perkauman di Twitter rakyat Malaysia didapati semakin turut meningkat.

Begitu hasil kajian kumpulan penyelidik The Centre daripada analisis terhadap ciapan mengandungi perkataan yang lazim digunakan rakyat Malaysia untuk mengecam sesuatu kumpulan, bersama dengan sebutan merujuk kepada mana-mana etnik di Twitter.

Pemerhatian dilakukan selama sebulan sejak 27 Februari lalu, kebetulan tarikhnya sama dengan Covid-19 gelombang kedua diumumkan, dan sehari sebelum perhimpunan Tabligh Sri Petaling berlangsung.

“Ucapan berbaur perkauman terhadap Melayu-Islam dan juga bukan Melayu meningkat di Twitter selari dengan peningkatan kes Covid-19, tapi ciapan sekitar 1 Mac kebanyakannya berkaitan krisis politik yang dicetuskan oleh Langkah Sheraton,” kata kumpulan itu.

Kata kumpulan itu, sepanjang pemerhatian, terdapat tiga kemuncak untuk ciapan berbaur perkauman, dengan yang pertama berlaku sehari sebelum Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri (pada 29 Februari dengan 203 ciapan).

Kemuncak kedua berlaku pada tarikh perhimpunan Tabligh diumumkan sebagai kluster baru Covid-19 (pada 12 Mac dengan 167 ciapan), manakala yang ketiga berlaku selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan (19 Mac dengan 179 ciapan).

The Centre menggesa agar rakyat dipertanggungjawabkan atas tindakan seumpamanya, sama ada di luar atau di alam maya, dan pihak berkuasa juga digesa mengambil tindakan terhadap mereka yang sengaja mengeskploitasi kebimbangan perkauman dan bias.

Tambah kumpulan itu, ucapan sebegitu akan melemahkan rakyat sedangkan sikap perkauman semakin mudah dieksploitasi dalam tempoh PKP dikuatkuasakan.

“Sudah tiba masanya untuk Malaysia menjadi lebih baik- mengakui pelbagai ucapan kebencian di negara ini, dan menanganinya dengan sistematik dan wajar,” katanya.

Analisis The Centre itu mendapati, pada kebanyakan hari pemerhatian, kebanyakan ciapan ditujukan buat kelompok Melayu-Islam, diikuti Cina Malaysia, dan ada juga sebahagian yang ditujukan buat India Malaysia.

Kebanyakan ciapan itu dicetuskan oleh laporan berita.

Daripada 706 ciapan anti-Melayu dan Islam dalam analisis berkenaan, jumlah ciapan memuncak pada 12 Mac, susulan kes pertama Covid-19 daripada kluster Tabligh dilaporkan, kemudian diikuti pada 12 Mac apabila Malaysia menyaksikan kenaikan mendadak kes jangkitan wabak itu.

Majoriti 706 ciapan itu (59 peratus) berkaitan perhimpunan Tabligh dan juga pesertanya. Ia diikuti ucapan kebencian "comprehension-related" (berkaitan pemahaman), dengan 34 peratus daripada ciapan anti-Melayu Islam itu menuduh ahli jemaah Tabligh sebagai malas membaca berita dan mengambil tahu hal ehwal semasa.

Minoriti kecil (6 peratus) pula menggelar orang Melayu sebagai penipu, degil dan golongan konservatif aliran pelampau kanan.

Sementara itu, daripada 506 ciapan anti-Cina pula, kemuncak jumlah ciapan berlaku pada 20 Mac selepas pakar jantung berbangsa Cina didakwa melanggar PKP dengan berjoging di taman.

"Kejadian itu dijadikan isu perkauman di Twitter selepas video doktor berkenaan berhujah dengan pegawai penguatkuasa menjadi tular; suatu laporan polis terhadapnya juga telah dibuat," kata analisis tersebut.

Bagaimanapun, secara keseluruhan, hanya 15 peratus sebutan negatif merujuk insiden berkenaan yang digunakan untuk menuduh orang Cina ingkar PKP, selain perbuatan lain seperti pembelian panik dan makan haiwan eksotik.

"Sejumlah besar sebutan kebencian di dalam tempoh ini - 38 peratus - menyalahkan orang Cina sebagai kumpulan umum yang membawa virus itu atau memakan haiwan eksotik.

"Sebutan anti-Cina selebihnya merupakan topik 'evergreen' (malar segar): 29 peratus seakan berkaitan DAP manakala 18 peratus menuduh orang Cina secara umumnya melakukan kesalahan budaya seperti menghina Agong, Islam dan hal-hal yang serupa," kata penganalisis lagi.

Jelas kumpulan itu, ciapan berkaitan DAP dikelaskan sebagai menyasarkan etnik berbanding parti politik memandangkan penggunaan meluas istilah seperti “DAPig” dan “Cina DAP”.

Bagaimanapun, cuma terdapat 156 ciapan anti-India, mencapai kemuncak 20 kicauan pada 22 Mac apabila seorang mekanik berketurunan India dikenakan pertuduhan di mahkamah kerana mabuk di tempat awam dan enggan bekerjasama dengan pihak polis.

Daripada 156 ciapan itu, hanya 24 ciapan berkaitan Covid-19, merujuk penghinaan terhadap pesta Hindu di Pulau Pinang.

"Sejumlah besar sebutan negatif merupakan topik anti-orang India yang biasa; misalnya 24 peratus berkaitan tanggapan streotaip negatif.

“Amat membimbangkan, 22 peratus merupakan ciapan bersifat cubaan meminggirkan (kaum India), daripada ‘balik India’, hinggalah cadangan bentuk tindak balas (terhadap orang India) seperti menggunakan semburan lada,” jelas analisis itu.

[Baca berita asal]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Lihat Komen
ADS