Seramai 2,298 rakyat Malaysia masih terkandas di 47 negara, antaranya disebabkan pembatalan penerbangan serta sekatan perjalanan yang dilaksanakan di negara mereka berada, susulan penularan wabak Covid-19.

Timbalan Menteri Luar Kamarudin Jaffar berkata setakat ini kementeriannya telah membawa pulang 4,811 rakyat Malaysia dari beberapa negara terjejas ke tanah air.

“Jumlah tertinggi rakyat Malaysia yang masih terkandas di luar negara adalah di India seramai 1,016 orang diikuti Thailand (172 orang), New Zealand (136 orang), Pakistan (128 orang), Vietnam (122 orang), Arab Saudi (83 orang), Australia (77 orang), Filipina (66 orang), Sri Lanka (65 orang) dan Nepal (43 orang),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata mereka yang terkandas adalah rakyat Malaysia yang berada di luar negara bagi tujuan jangka masa pendek seperti melancong, urusan keluarga dan bercuti.

Menurut Kamarudin, hari ini terdapat dua penerbangan sewaan khas Malindo Air membawa pulang 270 rakyat Malaysia yang terkandas di Chennai dan Trichy, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), masing-masing melalui penerbangan OD210 pada pukul 4.15 pagi dan penerbangan OD222 pada pukul 4.51 petang.

“Sebanyak tiga penerbangan sewaan khas Malindo Air dari New Delhi, Mumbai dan Chennai dijangka tiba pada 5 dan 6 April ini. Sehingga pukul 5.00 petang tadi, seramai 2,567 rakyat Malaysia yang terkandas di India dibawa pulang,” katanya.

Mengenai rakaman video tular berhubung keadaan daif pusat kuarantin di India baru-baru ini, Kamarudin berkata rakyat Malaysia yang dikuarantin oleh pihak berkuasa negara itu adalah mereka yang terlibat dalam perhimpunan tabligh di Markaz Nizamudin pada 10 hingga 13 Mac lepas.

“Kementerian Luar Negeri menerusi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi telah berhubung dengan Kerajaan India khususnya Kementerian Luar Negeri (MEA) India di mana mereka berjanji akan memberi perhatian dan kerjasama sepenuhnya. Saya juga telah mengarahkan wakil Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi untuk melawat dan menghulurkan bantuan sewajarnya kepada rakyat Malaysia yang ditempatkan di pusat-pusat kuarantin tersebut,” katanya.

Sementara itu, Kamarudin yang juga Pengerusi Pasukan Petugas COVID-19 Kementerian Luar berkata seramai 66 penumpang terdiri daripada 43 rakyat Malaysia, 22 rakyat Singapura dan seorang warganegara United Kingdom (pasangan kepada rakyat Malaysia) tiba di KLIA pukul 8.05 malam ini dari Nepal.

Sementara pada pukul 10.30 malam ini pula, seramai 115 rakyat Malaysia yang terkandas di Vietnam akan tiba di KLIA melalui penerbangan komersial MH767.

“Kami mohon kerjasama rakyat Malaysia untuk bersabar dan memahami bahawa proses membawa rakyat kita pulang memerlukan rundingan dan kadang-kadang memakan masa. Kementerian Luar Negeri sentiasa komited dalam memastikan kebajikan, keselamatan dan kesihatan rakyat Malaysia yang masih terkandas di luar negara akan terus diberikan keutamaan,” katanya.

- Bernama