Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ahli perniagaan didakwa ingkar PKP, tunjuk isyarat lucah pada polis

M Mathialagan, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Majistret Chia Huey Ting.

Seorang ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di George Town hari ini atas empat pertuduhan iaitu memandu melawan arus, menunjuk isyarat lucah, menghalang penjawat awam ketika menjalankan tugas dan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) awal bulan ini.

M Mathialagan, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Majistret Chia Huey Ting.

Mengikut pertuduhan pertama, Mathialagan didakwa menunggang motosikal dengan cara melulu dan mendatangkan bahaya kepada orang ramai apabila jalan yang digunakan itu tidak sesuai dan banyak lalu lintas di Lebuhraya Dr Lim Chong Eu, di George Town pada 12.15 tengah malam, 3 April lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan maksimum RM15,000, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa bergerak dari rumah di Pengkalan Weld ke Lebuhraya Dr Lim Chong Eu yang merupakan tempat dalam tempatan kawasan jangkitan bukan bertujuan melakukan mana-mana perkara yang diperuntukkan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, pada masa dan tarikh sama.

Dia dituduh melakukan kesalahan berkenaan mengikut Peraturan 11(1) peraturan sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara yang boleh sampai enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, Mathialagan didakwa mengaibkan anggota polis Jyillson Mudi dengan menunjukkan isyarat lucah jari tengah dan mengeluarkan perkataan lucah di hadapan pos pengawal Balai Polis Jalan Patani, di George Town mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh boleh sampai lima tahun dengan denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Dia turut dituduh menghalang penjawat awam itu daripada menjalankan tugas dengan bertindak agresif dan melarikan diri semasa ditahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan pada masa dan tarikh sama.

Mahkamah membenarkan Mathialagan diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 16 Jun untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Shafiq Mohd Sazali manakala tertuduh diwakili peguam M Puveneswaran.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Lihat Komen
ADS