Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Giliran Madam Lee, Haji Salleh dan Surjit Kaur untuk terseyum’
Diterbitkan:  Apr 6, 2020 6:03 PM
Dikemaskini: 10:25 AM

Selepas Mak Cik Kiah, hari ini giliran Madam Lee, Haji Salleh dan Surjit Kaur pula untuk ‘tersenyum sedikit’ ketika tempoh mencabar akibat penularan Covid-19 ini dengan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) Tambahan yang diumum hari ini.

Sepertimana Mak Cik Kiah sebelum ini, watak-watak ini diguna Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai ‘contoh mudah’ untuk menjelaskan jenis bantuan yang boleh diterima mereka dalam pakej tambahan bernilai RM10 bilion khas untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Contohnya, Madam Lee, pemilik Lee Beauty Saloon, sebuah PKS mikro dengan dua pekerja tempatan yang semuanya bergaji kurang RM4,000, boleh mendapat manfaat subsidi upah tiga bulan berjumlah RM7,200 dan geran mikro berjumlah RM3,000.

“Keseluruhan manfaat yang diterima oleh Madam Lee ialah RM10,200,” katanya dalam perutusan mengenai pakej berkenaan yang disiar secara langsung.

Antara lain, melalui pakej berkenaan syarikat yang mempunyai pekerja tempatan sehingga 75 orang yang bergaji bawah RM4,000 akan menerima subsidi upah RM1,200 bagi setiap pekerja selama 3 bulan.

Selain itu, kerajaan menyediakan Geran Khas PRIHATIN berjumlah RM3,000 untuk setiap syarikat PKS mikro dengan keseluruhan berjumlah RM2.1 bilion,

Muhyiddin turut memberi contoh Restoran Mi Kolok 'sedap’ Hj Salleh di Kuching, Sarawak yang boleh menerima manfaat RM34,200 untuk tempoh tiga bulan, tidak termasuk pinjaman kredit mikro.

“Katakan restoran ini mempunyai lima pekerja tempatan bergaji RM4,000 ke bawah dan dua pekerja asing. Untuk menampung keperluan aliran tunai dalam tempoh PKP, pemilik restoran ini boleh mendapatkan pinjaman kredit mikro BSN sejumlah RM50,000 dan subsidi upah untuk lima pekerja berjumlah RM18,000.

Pemilik juga boleh menikmati penjimatan daripada pengecualian sumbangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) sebanyak RM8,400; tangguhan cukai RM5,200; diskaun levi pekerja asing RM2,300 dan diskaun bil elektrik sebanyak RM300.

Bagi Syarikat Surjit Kaur Sdn. Bhd pula, sebuah syarikat bersaiz kecil dalam sektor perkilangan perabot dengan lima pekerja tempatan bergaji RM4,000 ke bawah, 10 pekerja asing dan selebihnya pekerja tempatan bergaji lebih RM4,000, Muhyiddin berkata pemiliknya boleh menerima manfaat berjumlah RM63,800.

“Bagi memastikan syarikat dapat menampung keperluan aliran tunai dalam tempoh PKP, Syarikat Surjit Kaur boleh mendapatkan pinjaman Kemudahan Bantuan Khas sebanyak RM500,000 dan subsidi upah berjumlah RM18,000.

“Syarikat juga boleh menikmati penjimatan melalui pengecualian sumbangan KWSP dan HRDF sebanyak RM8,400, diskaun levi pekerja asing RM4,600, tangguhan cukai PKP Mikro RM32,700 dan diskaun bil elektrik RM100,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS