Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) menyedikan 511 slot rawatan dialisis buat pesakit buah pinggang di seluruh negara, bagi kegunaan bukan pesakit Covid-19 yang perlu menjalani rawatan berkenaan.

Presidennya, Dr Kuljit Singh berkata inisiatif itu adalah tambahan kepada usaha berterusan pertubuhan untuk menyumbang kepada negara semasa pandemik Covid-19 melanda.

Beliau berkata pesakit yang memerlukan rawatan dialisis akan dirujuk oleh hospital awam yang berkaitan kepada hospital swasta terpilih yang menyediakan slot berkenaan.

“Bagaimanapun semua pesakit yang dirujuk akan menjalani saringan Hepatitis B, C, dan HIV terlebih dahulu. Bagi memastikan kos yang ditawarkan berpatutan, kadar asas dialisis ditetapkan RM200 tiap sesi sebagaimana yang ditawarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi pesakit tajaan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata APHM sentiasa bersedia membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana ini akan menjadi contoh teladan perkongsian awam-swasta dari segi membeli perkhidmatan dari hospital swasta.

-Bernama