Kadar jangka pendek diunjurkan stabil hari ini dengan operasi Bank Negara Malaysia (BNM) akan menyerap lebihan mudah tunai daripada sistem kewangan.

Mudah tunai hari ini dianggarkan sebanyak RM48.08 bilion dalam sistem konvensional dan RM27.37 bilion dalam dana Islam.

Bank pusat akan menawarkan tender pasaran wang konvensional bernilai RM2 bilion untuk tujuh hari serta dua tender Qard iaitu bernilai RM3.7 bilion bagi tujuh hari dan RM200 juta untuk 14 hari.

Ia juga akan menjalankan tender repo berbalik RM1 bilion untuk 62 hari.

BNM turut mengumumkan kemudahan repo berbalik, perjanjian jual beli balik (SBBA) dan Komoditi Murabahah Bercagaran (CCM) juga tersedia bagi jangka satu hingga tiga bulan.

Pada 4 petang, BNM akan mengendalikan tender semalaman konvensional bagi RM47.1 bilion dan tender semalaman Murabahah untuk RM23.5 bilion.



-Bernama