Saman kerajaan untuk lucut hak Umno Johor didengar 19 Mei
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 19 Mei untuk mendengar tuntutan pihak ketiga yang berkepentingan ke atas wang berjumlah RM677,872.55 yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada Badan Perhubungan Umno Negeri Johor didakwa berkaitan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Perkara itu dimaklumkan peguam Syahrul Syazwan Salehin yang mewakili badan politik itu yang dinamakan sebagai responden.
“Hari ini ditetapkan bagi pihak ketiga itu hadir ke mahkamah tetapi ia telah dijadualkan semula pada 19 Mei,” katanya hari ini.
Pihak pendakwaan sebelum ini mewartakan notis bagi pihak ketiga yang berkepentingan hadir ke mahkamah sama ada secara sendiri atau melalui peguam untuk memberi tunjuk sebab mengapa harta itu tidak boleh dilucut hak kepada kerajaan.
Pada Jun tahun lepas, SPRM memfailkan saman pelucutan hak terhadap 41 entiti yang terdiri daripada individu, syarikat dan parti politik, di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan untuk memperoleh semula dana RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.
SPRM percaya wang berkenaan dipindahkan secara tidak sah daripada akaun bank bekas Perdana Menteri, Najib Tun Razak.
-Bernama

