Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
170 lagi positif, peserta tabligh Sulawesi korban baru Covid-19 di Malaysia
Diterbitkan:  Apr 7, 2020 5:41 PM
Dikemaskini: 1:26 PM

Satu lagi kematian akibat jangkitan Covid-19 dilaporkan, menjadikan jumlah korban keseluruhan akibat wabak itu di Malaysia adalah sebanyak 63.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang medianya hari ini berkata, kes kematian terbaru itu melibatkan lelaki warganegara Malaysia berumur 71 tahun yang pernah menghadiri perhimpunan tabligh di Sulawesi, Indonesia pada 17 Mac 2020 hingga 24 Mac 2020.

Pesakit itu telah dirawat di Hospital Enche’ Besar Hjh Kalsom, Johor pada 5 April dan disahkan meninggal dunia pada 6 April 2020 jam 11.00 malam.

Noor Hisham juga memaklumkan bahawa terdapat 170 kes baru dilaporkan, menjadikan jumlah keseluruhan kes adalah 3,963.

Noor Hisham juga memaklumkan bahawa sebanyak 80 pesakit pulih, menjadikan jumlah keseluruhan pesakit yang sembuh dari jangkitan wabak itu ialah 1,321, iaitu 33.3 peratus daripada jumlah kes keseluruhan.

Sebanyak 170 pesakit kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 50 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

Semalam Noor Hisham mendedahkan bahawa perhimpunan besar-besaran mempunyai kesan drastik terhadap peningkatan kes Covid-19 di Malaysia.

Malaysia menyaksikan peningkatan kes Covid-19 yang mempunyai kaitan dengan perhimpunan tabligh di Sri Petaling, Kuala Lumpur yang diadakan pada hujung Feb lalu.

Perhimpunan itu membawa kepada kluster terbesar jangkitan Covid-19 terbesar di Malaysia, iaitu lebih 40 peratus daripada jumlah kes keseluruhan.

Selain program dalam negara, pihak berkuasa juga sedang mengesan warganegara Malaysia yang menyertai program tabligh di luar negara termasuk di India dan Indonesia.

Pihak berkuasa Malaysia sebelum ini dilapor mengumumkan bahawa seramai 107 rakyat Malaysia pulang dari Sulawesi.

Untuk rekod, perhimpunan tabligh di Sulawesi telah dibatalkan oleh kerajaan Indonesia. Bagaimanapun, sejumlah peserta sudah tiba lebih awal di sana sebelum ia dibatalkan.

Sementara itu, perhimpunan seumpamanya di Delhi, India menyaksikan seorang wanita warga negara Malaysia yang menyerta acara berkenaan merupakan antara yang diuji positif wabak berkenaan, lapor Times of India.

Himpunan itu membawa kepada peningkatan kes Covid-19 di India.

 

Lihat Komen
ADS