mk-logo
Berita
Hanipa jawab Maza: Kami lompat bukan kejar habuan
Diterbitkan:  Apr 7, 2020 6:38 PM
Dikemaskini: 10:38 AM

Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin, hari ini membidas kenyataan dibuat Dr Mohd Asri Zainul Abidin, dan meminta mufti Perlis itu tidak membuat ulasan secara sembernono tanpa melihat konteks secara keseluruhan.

Beliau yang juga bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri menjelaskan memang ahli parlimen Amanah sekarang pernah 'melompat' dari PAS.

Kata Hanipa, ahli parlimen Perikatan Nasional (PN) yang menjadi kerajaan juga melakukan perbuatan sama, yakni melompat, namun kerana konteks yang berbeza.

“Ya, Amanah dulu lompat dari parti ehem (PAS) dan sekarang pula ada dari kalangan anggota GPB (gomen pintu belakang) yang juga melompat.

"Tajuk yang sama - lompat - tapi konteks yang berbeza, tuan mufti.

“Kami dari Amanah pada masa tu bukan suka-suka nak melompat tuan mufti. Kami bukan lompat sebab nak jadi menteri!" katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Hanipa lagi selepas meninggalkan PAS mereka berdepan dengan pelbagai kesukaran termasuk menubuhkan parti baru - Amanah. Sesetengahnya, kata beliau, diminta berpindah pejabat oleh PAS dengan notis yang singkat.

Dari miskin jadi lebih miskin

Malah, katanya, ada antara mereka difitnah kononnya 'berzina' dengan isteri kerana melanggar baiah.

Mengenai PN pula, Hanipa berkata, mereka boleh dianggap mengkhianati mandat diberikan rakyat.

“Tapi adakah cara itu cara yang beretika atau berakhlak? Adakah cara tu sama seperti PH tubuhkan kerajaan melalui pilihan raya dan mendapat mandat rakyat?” soalnya.

Pada 5 April, Mohd Asri memberi penjelasan mengenai sikapnya menyokong PN ketika sesetengah pihak mempertikaikan kewajaran kerajaan itu dibentuk melalui pakatan beberapa ahli parlimen.

Dalam penjelasan itu Mohd Asri yang juga dikenali sebagai Maza berkata, tiada sesiapa boleh dianggap pengkhianat kerana pihak terbabit didakwanya tidak terikat dengan sebarang janji, berbanding Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim. 

"Sudah pasti DYMM YDPA (Yang di-Pertuan Agong) tidak terikat dengan janji tersebut.

"Rakyat awam seperti saya juga tidak terikat dengan janji itu. Maka, tiada siapa yang boleh dituduh sebagai khianat kerana mengiktiraf kerajaan yang ada," katanya dalam satu kenyataan dibuat di media sosial.

Mohd Asri berkata demikian sebagai menjawab soalan seorang penyokong Amanah yang bertanya mengapa beliau mengiktiraf golongan pengkhinat - merujuk kepada pemimpin PH yang melompat ke PN.

Hanipa berkata ahli parlimen Amanah meninggalkan PAS kerana mahu mengelak daripada mengkhianati mandat rakyat yang memilih mereka atas gabungan Pakatan Rakyat (PR).

“Ya, kami mengambil risiko yang menyakitkan... bukan kejar habuan. Seperti kata presiden Amanah: Kita berpindah dari miskin kepada lebih miskin!" katanya.

Justeru Hanipa meminta Mohd Asri - yang dianggapnya tidak tahu konteks isu berkenaan - supaya berdiam diri dan tidak memberikan 'fatwa' mengenai isu berkenaan.

Lihat Komen
ADS