Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Nota editor: Kesilapan terdahulu yang menyatakan Kes 1580 sebagai Kes 1530 telah diperbetulkan. Kesilapan ini amat dikesali.

KORONAVIRUS | Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, hari ini menjelaskan mengapa pihaknya tidak menggalakkan ujian menggunakan antibodi bagi mengesan jangkitan Covid-19.

Menggunakan kes 1,031 sebagai rujukan, Noor Hisham berkata, pesakit terbabit dibenarkan keluar dari hospital selepas ujian antibodi - menggunakan rapid test kit (RTK) - menunjukkan dia negatif.

"Ketika itu dia dirawat di sebuah kemudahan kesihatan swasta dan mereka menjalankan ujian antibodi - atau dipanggil ujian serologi - ke atasnya.

"Mereka juga menjalankan ujian RT-PCR," katanya.

RT-PCR merujuk kepada ujian tindak balas rantai polimerase transkripsi terbalik (reverse transcription polymerase chain reaction) yang boleh mengesan jangkitan virus Covid-19.

Bagaimanapun keputusan untuk ujian itu biasanya mengambil masa lebih dari satu hari kerana sampel seseorang perlu dibawa ke makmal untuk diuji.

Keadaan itu menyebabkan berlaku kelewatan keputusan serta longgokan sampel yang perlu diuji.

Kata Noor Hisham, sehari selepas pesakit ke-1,031 itu pulang dia meninggal dunia dan lebih malang wabak itu menjangkiti ahli keluarga mangsa, menyebabkan empat orang lagi terkorban.

Ada ketepatan tinggi

Menurut beliau ujian menggunakan antibodi itu - yang boleh memberikan keputusan segera - gagal mengesan vidus Covid-19.

"Jadi itulah salah satu faktor kenapa kita tak menggalakkan guna RTK yang berdasarkan kepada antibodi," katanya.

Noor Hisham berkata kegagalan RTK mengesan jangkitan pada peringkat awal menyebabkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) lebih cenderung melakukan pengesanan menggunakan kaedah RT-PCR.

Untuk rekod pesakit ke-1,031 itu hanya disahkan dijangkiti Covid-19 tiga hari selepas meninggal dunia.

KKM kemudian difahamkan mangsa itu mendapat jangkitan berkenaan daripada anak perempuannya.

Anak perempuannya mendapat jangkitan daripada pesakit Kes 1,580, seorang rakan sekerja yang sebelum itu berkunjung ke Itali.

Kata Noor Hisham KKM juga sedang mengkaji RTK antigen yang boleh memberikan keputusan ujian dalam tempoh kurang dari dua jam dan ia boleh dijalankan tanpa perlu menghantar sampel ke makmal.

"Kit ujian antigen pantas yang kita uji sekarang mempunyai ketepatan yang tinggi serta boleh dipercayai. Mungkin kita boleh menggunakannya di pusat rawatan," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS