Khazanah 'skeptikal' tawaran AS$2.5b GSV untuk beli Malaysia Airlines
Firma dana kekayaan negara, Khazanah Nasional Bhd, yang adalah pemilik tunggal Malaysia Airlines, agak 'skeptikal' dengan cadangan AS$2.5 bilion (RM10.86 bilion) oleh Golden Skies Ventures (GSV) untuk membeli syarikat penerbangan nasional itu, lapor New Straits Times.
Akhbar itu memetik pengarah urusan Khazanah, Shahril Ridza Ridzuan sebagai berkata dia "berhati-hati" mengenai sama ada GSV mempunyai sokongan kewangan yang mencukupi memandangkan risiko yang sedang melanda industri penerbangan susulan pandemik koronavirus.
GSV memberitahu Reuters bahawa ia telah berjaya memperoleh pembiayaan melebihi AS$2.5 bilion dari sebuah bank di Eropah dan akan mengambil masa tiga hingga empat bulan untuk mendapatkan pembiayaan jangka panjang. Ia mengemukakan cadangannya bulan lalu kepada Morgan Stanley, yang diupah oleh Khazanah untuk menguruskan pencarian rakan strategik buat syarikat penerbangan itu.
GSV juga berkata mendapat sokongan daripada sebuah syarikat ekuiti swasta Jepun untuk menyuntik dana segera ke dalam kumpulan penerbangan itu melalui satu perjanjian ekuiti. Ia bagaimanapun enggan mendedahkan nama bank di Eropah itu atau firma ekuiti swasta Jepun berkenaan tetapi mengatakan ia sedang berbincang dengan lebih banyak firma mengenai pembiayaan.
Jurucakap Khazanah mengesahkan Shahril membuat ulasan berkenaan kepada akhbar itu, sambil menambah bahawa firma dana kekayaan negara itu juga ada menerima beberapa cadangan daripada pelbagai pihak.
GSV ditubuhkan oleh bekas pegawai dan kakitangan profesional dari Malaysia Airlines yang mempunyai pengalaman dalam industri penerbangan.
- Reuters

