Putrajaya tidak berpuas hati dengan kaedah saringan kerajaan Singapura untuk rakyat Malaysia di negara itu yang menyeberang pulang ke tanah air.

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata, Singapura, yang memetik cadangan Organisasi Kesihatan Dunia (WHO), hanya melakukan ujian swab atau pengambilan sampel air liur terhadap individu yang mempunyai gejala.

Putrajaya sebelum ini meminta Singapura untuk menguji semua rakyat Malaysia yang ingin kembali ke tanah air selepas negara itu melaksanakan undang-undang ketat penjarakan sosial.

"Mereka yang telah kembali telah diberi surat kelulusan, mengatakan mereka bebas dari jangkitan Covid-19 kerana menurut SOP (Singapura) mereka hanya melakukan pemeriksaan kesihatan asas.

"Dan mereka telah diletakkan di bawah kuarantin sendiri di rumah.

"Tetapi kita tidak puas hati, dan kita masih dalam perbincangan dengan Singapura," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya.

Ismail berkata Putrajaya meminta Singapura terus menyediakan tempat tinggal sementara untuk rakyat Malaysia di republik itu, selain diberi makanan, seperti yang dilaksanakan bulan lepas.

Beliau menambah bahawa kerajaan juga telah mengarahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk melakukan ujian swab tambahan di Malaysia, untuk memastikan mereka yang pulang ke tanah air benar-benar bebas jangkitan Covid-19.

Saringan oleh Singapura adalah sebahagian daripada syarat dikenakan Putrajaya bagi mengenepikan kuarantin mandatori untuk rakyat Malaysia yang kembali ke Johor dari republik itu.

Bagaimanapun, kerajaan telah mengatakan bahawa ia mahu menyemak semula syarat tersebut.

KKM sebelum ini turut menasihatkan rakyat Malaysia di Singapura untuk tinggal di negara itu dua minggu lagi.