Subkluster jangkitan baru himpunan Sri Petaling dikesan di Rembau
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan satu lagi sub-kluster jangkitan Covid-19 yang berkaitan dengan perhimpunan tabligh Sri Petaling, Kuala Lumpur.
Sub-kluster terbaru itu dikesan di Rembau, Negeri Sembilan dan setakat ini 27 telah disahkan positif, kata Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah.
"Ini merupakan satu kluster yang melibatkan kakitangan sebuah sekolah dan kemudiannya beberapa lokaliti di dalam Daerah Rembau ( Pedas, Pilin, Kundur dan Batu Hampar ).
"Sehingga 8 April 2020 jam 12 tengah hari, terdapat dua 27 orang yang telah dikenal pasti positif Covid-19, termasuk dua kes yang dirawat di Unit Rawatan Intensif (ICU)," katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.
Menurut Noor Hisham sub-kluster itu mula dikesan apabila beberapa guru di sebuah sekolah di daerah itu diuji positif Covid-19.
Katanya, penularan itu dipercayai berpunca daripada satu mesyuarat yang diadakan di sekolah berkenaan, yang turut dihadiri oleh kes indeks (kes ke-448) yang merupakan salah seorang peserta perhimpunan di Sri Petaling.
"Guru-guru dan kakitangan sekolah yang dijangkiti seterusnya menjangkiti ahli keluarga mereka dan penduduk kampung, sehingga terdapat 3 generasi jangkitan," katanya.
Kata Noor Hisham lagi, siasatan pihaknya juga mendapati terdapat aktiviti kunjung-mengunjung ke rumah saudara untuk melawat ahli keluarga yang tidak sihat, walaupun negara kini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Noor Hisham dalam sidang medianya hari ini juga menegaskan agar rakyat Malaysia patuh perintah kawalan pergerakan (PKP), selain menyuarakan kebimbangan penularan Covid-19 akan berterusan.
"Didapati semasa tempoh PKP ini, masih terdapat aktiviti pergerakan yang tidak dibenarkan serta aktiviti kunjungmengunjung ke rumah saudara mara termasuk mereka yang tidak sihat serta mereka yang sedang menjalani home/ self surveillance.
"Misalnya, bagi kes kematian ke-64, beliau dan beberapa orang lain telah meneruskan perjalanan ke luar kawasan, iaitu ke dua negeri, meskipun PKP telah dikuatkuasakan mulai 18 Mac 2020.
"Didapati kenderaan di jalan raya juga makin meningkat. KKM khuatir sekiranya ketidakpatuhan oleh masyarakat ini akan meningkatkan lagi penularan jangkitan Covid-19," katanya.
Pesakit 2,903, merupakan seorang wanita Malaysia berusia 58 tahun, meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja'afar di Negeri Sembilan pada jam 3.20 petang.
PKP yang bermula 18 Mac lalu dijadual tamat 14 April ini, namun ada kemungkinan ia akan dilanjutkan.


