Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ke sana ke sini, hantaran TikTok menteri tak ada lagi
Diterbitkan:  Apr 9, 2020 12:41 PM
Dikemaskini: 6:17 AM

Hantaran pertandingan di aplikasi video pendek TikTok yang dimuat naik malam semalam di media sosial rasmi Menteri Pengajian Tinggi, Noraini Ahmad, didapati telah diturunkan.

Ia berlaku di tengah-tengah kritikan pengguna maya yang menyifatkan perkara itu tidak harus menjadi keutamaan menteri, malah tidak kena masa dengan malam Nisfu Syaaban yang bermula selepas Maghrib malam.

Berdasarkan carian pagi ini, hantaran mempromosi pertandingan TikTok yang turut menampilkan dua personaliti media sosial, Norreen Iman dan Iskandar Rahman, tidak lagi dapat ditemukan.

Sebahagian umat Islam menghidupkan malam nisfu Syaaban dengan memperbanyak amalan bersandarkan pandangan terdapatnya keutamaan khusus pada malam tersebut.

Berdasarkan hantaran di Twitter dan Facebook semalam, Noraini memuat naik poster dan video bagi mempromosikan pertandingan tersebut yang sepatutnya berlangsung dari hari ini hingga 14 April, dan terbuka kepada mereka yang berusia 18 hingga 26 tahun.

“Jom join TikTok contest. Kongsikan video mengikut kreativiti masing-masing dengan saya. Ada hadiah menarik menanti anda,” tulis Noraini bersama kepilan poster itu.

Norreen dan Iskandar 

Dalam video hampir seminit itu pula, Noraini dipaparkan membuat panggilan video bersama Norreen dan Iskandar, sebelum kedua-dua personaliti itu menari mengikut rentak ucapan perdana menteri yang telah diadun semula (remixed), mengandungi ungkapan “ke sana ke sini” yang diulang-ulang.

“Hai you guys. Jangan merayau-rayau tau. Stay at home. Kita buat TikTok. Siapa yang paling kreatif saya ada hadiah menarik untuk anda,” kata anggota Parlimen Parit Sulong itu dalam video sama.

Ungkapan “ke sana ke sini” itu diadun semula daripada ucapan Muhyiddin Yassin pada 18 Mac, ketika beliau merayu agar rakyat Malaysia duduk diam di rumah sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) dan tidak “bergerak ke sana ke sini”.

Malaysiakini sudah menghubungi Noraini dan pegawainya dan sedang menunggu penjelasan mereka. Setakat ini tidak jelas kenapa hantaran pertandingan TikTok itu diturunkan dan sama ada pertandingan itu dibatalkan.

Hantaran Noraini itu menarik reaksi tidak senang sebahagian warganet, yang melihatnya sebagai tidak kena pada tempatnya, dan tidak menumpukan terhadap masalah yang dihadapi mahasiswa dalam musim PKP, selain pemilihan ikon yang dikatakan kurang sesuai.

“Anda boleh buat siaran langsung Facebook untuk tangani kebimbangan pelajar: 1. Apa akan terjadi dalam baki tahun akademik ini? 2. Yuran pengajian yang dah dibayar? 3. Pelajar yang mendapat biasiswa? 4. Pelajar di luar negara? 5. Kualiti dan kebolehcapaian e-learning? 6. Peperiksaan?

“Tapi tak. Kamu kena buat TikTok,” ciap seorang pengguna, Firdaus Husni di Twitter.

 “Salam YAB Menteri KPT, ramai dalam kalangan mahasiswa yang sedang gusar tentang keadaan mereka sekiranya tempoh PKP dilanjutkan. Selain itu, apakah hala tuju di IPTA dan IPTS sekiranya keadaan ini berterusan? Apakah solusi utk yuran pengajian mereka? Maaf #tiktok bukan keutamaan,” ciap Aaron Denison pula di Twitternya.

 Ada juga yang pengguna Facebook yang berkongsi pautan daripada laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, menyatakan bahawa bermain TikTok dengan merakam gaya tarian mengikut genre muzik hanya “perbuatan sia-sia dan tidak mendatang sebarang faedah”.

 Sebahagian besar pelajar institut pengajian tinggi (IPT) telah pulang ke rumah masing-masing ekoran kekeliruan berhubung perintah berkenaan pada malam 17 Mac, beberapa jam sebelum PKP dikuatkuasakan.

Sebahagian lagi dikehendaki tinggal di kampus masing-masing, setelah arahan lebih jelas dikeluarkan pada 18 Mac.

Dalam soalan lazim Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam tempoh PKP, kementerian membenarkan IPT yang menggunakan pembelajaran atas talian sepenuhnya untuk meneruskan sesi pembelajaran dalam talian, dengan syarat kesemua pelajar mendapat akses.

Namun, IPT yang tidak menggunakan pembelajaran atas talian sepenuhnya, tidak dibenarkan melakukan sesi pembelajaran dalam talian agar tidak ada pelajar yang ketinggalan.

Selain itu, hantaran semalam turut mendapat perhatian beberapa ahli politik, antaranya Anggota Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad dan Anggota Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin di Facebook masing-masing.

“Malam Nisfu Sya’ban KPT lancar pertandingan TikTok. Nice,” ulas Noor Aim.

 “Memperkenalkan, menteri pengajian tinggi. Dia telah membawa standard pengajian tinggi kita ke peringkat yang luar biasa (unbelivable level),” kata Sim pula di Facebooknya.

Aplikasi popular anak muda itu dilancarkan pada 2017, antaranya digunakan bagi menghasilkan video pendek menarik, ajuk mulut (lip sync) dan komedi.

 

Lihat Komen
ADS