Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bekas menteri kritik penyingkiran 2 profesional dari CAAM
Diterbitkan:  Apr 9, 2020 4:13 PM
Dikemaskini: 8:13 AM

Bekas menteri pengangkutan Anthony Loke mengkritik penyingkiran dua ahli jawatankuasa Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), yang berlatar belakang profesional.

Meluahkan kekecewaannya di Facebook, Loke hari ini mendedahkan salah seorang ahli itu, Afzal Abdul Rahim, menawarkan khidmatnya secara percuma, tanpa sebarang bayaran elaun.

"Afzal adalah ketua pegawai eksekutif TIME dotCom, ahli bebas lembaga CIMB Group dan juruterbang komersial berlesen FAA. Ketika saya pertama kali bertemu dengannya, beliau sangat lantang mengenai kecekapan dalam CAAM tetapi sangat bersemangat mengenai isu berkaitan penerbangan.

“Saya kemudian mengajaknya untuk menyertai ahli lembaga CAAM untuk menjadikan kritikannya kepada satu pandangan yang membina untuk memperbaiki CAAM.

“Beliau bersetuju tetapi dengan satu syarat. Beliau berkata mahu berkhidmat untuk negara dan berkhidmat secara pro-bono (tanpa bayaran). Beliau enggan menerima sebarang elaun dari CAAM," katanya.

Katanya lagi, seorang lagi yang disingkirkan ialah bekas pengerusi Majlis Peguam Ragunath Kesavan, yang dilantik walaupun menjadi pengkritik lantang kerajaan PH.

"Ragunath sertai (CAAM) kemudian, memandangkan kita memerlukan seorang yang mempunyai latar belakang undang-undang yang kukuh,” katanya yang juga setiasaha organisasi DAP.

Loke berkata beliau memahami hak menteri untuk melantik dan menyingkirkan mana-mana individu dalam badan berkanun di bawah kementeriannya.

"(Tetapi) tidakkah mereka dapat membezakan antara lantikan profesional dan lantikan politik?" soalnya.

Menurutnya, beliau tidak menyingkirkan mana-mana lantikan profesional dan kalangan bukan politik oleh menteri pengangkutan sebelum beliau menyandang jawatan itu.

Beliau berkata, apa yang dimahukan ialah "minda bebas dan suara kritikal" dalam struktur kerajaan.

"Mungkin seperti apa yang Perdana Menteri Muhyiddin Yassin katakan...'Ini bukan kerajaan yang anda undi'," katanya lagi.

Malaysiakini telah menghubungi Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong untuk mendapatkan komen mengenai perkara ini.

Kerajaan Perikatan Nasional ditubuhkan selepas kejatuhan kerajaan PH ekoran keluarnya Bersatu dan sejumlah anggota parlimen PKR daripada gabungan itu.

Dalam siaran langsung di televisyen baru-baru ini, Muhyiddin memberi jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa kerajaannya mengambil berat terhadap rakyat walaupun mereka tidak mengundi PN sebagai kerajaan. 

Lihat Komen
ADS