Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Penjelasan maqasid: Mengapa masjid tutup, pasar raya tak?

ULASAN | Antara tugas utama sarjana fikah dalam melestarikan matlamat syarak adalah untuk meneliti, memastikan dan menentukan bahawa suatu maslahah benar-benar dikecapi oleh masyarakat, khususnya bagi golongan mukallaf, serta berusaha sedaya upaya untuk meniadakan atau mengurangkan semaksimum mungkin unsur-unsur yang boleh membawa mereka kepada kemudaratan.

Mukallaf merujuk kepada umat Islam yang terikat dengan khitab iaitu perintah syarak untuk semampunya melaksanakan segala apa yang telah diperintahkan (al-Baqarah 2:283).

Di dalam kitab Al-Mustasfa karya Imam Al-Ghazali (m. 505 H), m/s 174 dinyatakan bahawa matlamat utama (maqasid) syariah itu tertumpu kepada menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Setiap usaha yang menjamin kebajikan lima dasar ini dikenali sebagai maslahah, manakala setiap usaha yang mengabaikan lima dasar tersebut dinamakan mafsadah (kerosakan).

Oleh itu, menolak mafsadah adalah suatu maslahah. Dari lima dasar maqasid ini lahirlah hukum-hakam berkaitan penjagaan dasar-dasar tersebut.

Dalam memelihara maslahah agama, tindakan yang mesti didahulukan ialah perbuatan yang memastikan terpeliharanya perintah syarak yang dinyatakan secara zahir oleh nas.

Contohnya dalam isu solat Jumaat, perintah syarak agar ia didirikan secara berjemaah mengisyaratkan kepada perlunya membina masjid.

Maka, mendirikan masjid menjadi kewajipan memelihara agama. Namun, kefarduan solat Jumaat juga berkait-rapat dengan faktor keuzuran yang bersifat muktabar seperti sakit, hujan lebat, musafir, perempuan, belum baligh, tidak berakal dan seumpamanya.

Faktor-faktor ini bersifat muktabar kerana diperakui oleh syarak sebagai halangan yang menggugurkan kefarduan solat Jumaat.

Ini bermaksud dalam keadaan luar biasa, timbulnya alasan absah yang menghalang seseorang daripada melaksanakan perintah syarak, maka keuzuran ini dikategorikan sebagai maslahah muktabar dan diiktiraf oleh Syarak, bahkan dijadikan dasar sebagai rukhshah iaitu keringanan terhadap pelaksanaan hukum.

Contohnya, hujan lebat mengecualikan seseorang dari solat berjemaah di masjid, bahkan berlaku rukhsah untuk menjamak solat tersebut.

Begitu juga jika semua orang dalam satu perkampungan mengalami cirit-birit, ia bukanlah satu sebab yang diperakui syarak untuk menutup masjid.

Namun, ia adalah sebab utama untuk menghalang jemaah yang sakit dari datang ke masjid disebabkan kuatnya sangkaan masjid akan dikotori dengan najis.

Jika larangan itu dikuatkuasakan terhadap semua orang yang mengalami cirit-birit, maka seolah-olah berlaku lockdown (sekatan pergerakan) terhadap aktiviti masjid yang pada asalnya diharuskan oleh syarak.

Hakikatnya, masjid tidak mengalami lockdown tetapi kekhuatiran mengotori masjid, itulah yang disekat dari berlaku.

Tindakan lockdown masjid kerana kebarangkalian masjid dikotori oleh jemaah yang mengalami cirit-birit ini adalah maslahah muktabar kerana ia termasuk menjaga kesucian agama yang diiktiraf sebagai keuzuran lalu diberi rukhsah untuk mengugurkan kefarduan solat Jumaat dan berjemaah di masjid.

Berbeza dengan penutupan pasar raya yang merupakan tempat untuk melakukan transaksi jual-beli yang diharuskan syarak, sesuai dengan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 275 yang bermaksud:

“Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba.”

Larangan bagi aktiviti jual-beli jual-beli hanya berlaku apabila wujudnya riba dalam transaksi tersebut.

Tanpa riba, tidak ada halangan untuk berjual-beli di pasar raya.

Melarang jualbeli dan menutup pasar raya tidak termasuk maslahah muktabar, sebaliknya perbuatan itu hanya mendatangkan kemudaratan atau mafsadah yang ditegah syarak.

Pasar raya sebagai tempat utama transaksi dagangan perlu terus beroperasi walaupun ketika berlakunya wabak kerana aktiviti-aktiviti yang dijalankan, seperti penjualan bahan makanan dan peralatan tempat tinggal berkait-rapat dengan penjagaan nyawa dan kelangsungan hidup, iaitu salah satu daripada lima dasar maqasid.

Tanpa nyawa, agama tidak dapat dipelihara.

Dengan sebab inilah membandingkan “penutupan” masjid untuk sementara waktu disebabkan wabak dengan menutup pasar raya adalah qiyas yang rosak kerana masjid “ditutup” berlandaskan keuzuran yang diiktiraf syarak, untuk mendatangkan maslahah dan menolak mudarat.

Tuntutan agar pasaraya “ditutup” pula tidak berdasarkan sebarang keuzuran yang diiktiraf syarak, sebaliknya ia mengundang mudarat dan menghilangkan maslahah.


DR NURUL HAQ SHAHRIR ialah setiausaha kehormat, Panel Undang-undang, Majlis Dakwah Negara.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS