Kuarantin wajib elak kluster rakyat M'sia dari luar negara - Ismail
Menteri Kanan (Kluster keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan membuat keputusan tepat apabila mengenakan kuarantin wajib kepada rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara selepas 17 kes positif dikesan di kalangan mereka.
Beliau berkata kluster baru mungkin wujud sekiranya mereka dibenarkan menjalani kuarantin di rumah dan seterusnya mendedahkan ahli-ahli keluarga yang lain kepada wabak berkenaan.
"Kita faham ramai yang agak kurang senang dengan kuarantin wajib yang kita perkenalkan ini.
"Namun daripada laporan yang kita terima daripada Kementerian Kesihatan, kita dapati terdapat 17 kes positif Covid-19 di kalangan rakyat kita yang pulang dari luar negara.
"Cuba kita bayangkan kalau kita bebaskan mereka, keluarga mereka pastinya terdedah kepada positif Covid-19.
"Dan jika antara keluarga mereka keluar ke pasar, pasar raya dan sebagainya untuk membeli barangangan dan sebagainya tentu saja jangkitan itu akan merebak dengan lebih luas.
"Pastinya akan wujud kluster baru iaitu kluster rakyat kita yang pulang dari luar negara," kata Ismail.

Sebelum fasa kedua perintah kawalan pergerakan (PKP), yang bermula pada 1 April lalu, rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dibenarkan untuk menjalani kuarantin di rumah.
Bagaimanapun, Majlis Keselamatan Negara (MKN) kemudian mewajibkan kesemua mereka yang tiba ke negara ini untuk menjalani kuarantin di pusat kuarantin yang disediakan kerajaan.
Trend menurun
Ismail yang juga menteri pertahanan berkata kes positif Covid-19 menunjukkan trend penurunan sejak beberapa hari lepas.
Ini berdasarkan taklimat yang diberikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.
"Dari taklimat yang dibuat adalah jelas terdapat trend penurunan bagi positif Covid-19.
"Ini jelas menunjukkan bahawa tidakan kerajaan memperkenalkan sekatan pergerakan melalui PKP yang diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin adalah tepat, "katanya.
Malaysia melaksanakan PKP fasa pertama bermula 18 Mac sehingga 31 Mac dan dilanjutkan pada fasa kedua sehingga 14 April.
Fasa ketiga pula bermula pada 15 April dan dijadual berakhir pada 28 April.
Dalam tempoh ini, pergerakan orang ramai dihadkan dengan hanya dibenarkan membeli barangan keperluan asas seperti makanan dan barangan runcit, manakala hanya mereka dari sektor tertentu dibenarkan bekerja seperti kakitangan barisan hadapan.
Sekatan lain juga dikenakan seperti hanya seorang ketua keluarga dibenarkan keluar ke kedai atau ke pasar bagi mendapatkan bekalan makanan.
Orang ramai juga tidak dibenarkan keluar dari radius 10km dari rumah dan hanya perkhidmatan e-hailing dan penghantaran makanan dibenarkan beroperasi.

