Buat kali keempat dalam minggu ini, Malaysia mencatatkan kes baru harian Covid-19 di bawah paras 100.
Dalam sidang media hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, sebanyak 84 kes baru dilaporkan setakat tengah hari tadi.
Ini menjadikan jumlah kes keseluruhan Covid-19 yang direkodkan di Malaysia ialah sebanyak 5,389 kes.
Dengan mengambil kira 59.3 peratus atau 3,197 yang sudah pulih termasuk 95 yang dilapor pulih hari ini, kes aktif Covid-19 di Malaysia ialah 2,103 kes.
Daripada jumlah itu, 46 kes berada di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 26 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.
Bagaimanapun, satu lagi kematian baru turut dilaporkan setakat tengah hari tadi, menjadikan jumlah korban akibat wabak itu ialah 89.
Kes kematian ke-89 (kes ke-4769) melibatkan lelaki warganegara Malaysia berumur 51 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung dan penyakit buah pinggang.
Dia juga mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19, iaitu kes ke-2726. Pesakit itu dirawat di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Johor pada 13 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 18 April jam 6.47 petang.

