Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PKPD di sekitar Pasar Borong KL lepas 28 kes, 1 kematian dikesan

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) terpaksa dikenakan ke atas kawasan berhampiran Pasar Borong Kuala Lumpur setelah 28 kes Covid-19 serta satu kematian yang berkaitan dikesan di kawasan itu.

"Dari siasatan awal yang telah kami lakukan dan dari pengesanan aktif, 2,064 kes telah diambil sampel dan dari persampelan, kami mendapati 28 kes positif dan satu kematian di kawasan itu.

"Kerana peningkatan kes dan satu kematian ... kita perlu fokus pada lokasi dan kumpulan sasaran serta kumpulan berisiko tinggi yang pada dasarnya berada di kawasan Pasar Borong Kuala Lumpur dan kita telah mengambil tindakan untuk menguatkuasakan PKPD di kawasan itu,” kaya Noor Hisham pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Pagi ini dilaporkan bahawa kawasan perumahan di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur telah diletakkan di bawah PKPD.

Menteri kanan kluster keselamatan Ismail Sabri Yaakob berkata PKPD di kawasan itu akan dikuatkuasakan sehingga 3 Mei, dan majoriti penduduk di situ ialah pelarian Rohingya.

Sementara itu, Noor Hisham berkata warga asing yang tiada pas kerja atau lawatan, ataupun telah tamat tempoh, digalakkan untuk membuat ujian saringan.

"KKM syorkan mereka tampil ke depan untuk kita buat saringan. Ini penting.

"Fokus pertama KKM ialah memastikan mereka tidak dijangkiti atau menjangkiti orang lain. Pastinya kita perlu melaksanakan ujian kepada mereka," katanya lagi.

Setakat hari ini, jumlah kumulatif kes Covid-19 di Malaysia adalah 5,425 kes, dengan 2,041 kes aktif, iaitu pesakit yang masih dalam rawatan dan boleh menjangkiti orang lain.

Sejumlah 3,295 pesakit telah sembuh - iaitu 60.7 peratus daripada jumlah kes - dan 89 telah meninggal dunia.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Lihat Komen
ADS