Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Harus ada keseimbangan antara Umno dan Bersatu di Sabah - Bung
Diterbitkan:  Apr 23, 2020 12:49 AM
Dikemaskini: Apr 23, 2020 3:06 AM

Pengerusi Umno Sabah, Bung Moktar Radin menegaskan harus ada keseimbangan antara Umno dan Bersatu di Sabah dari segi pengagihan jawatan.

"Selaku pendukung pembentukan PN (Pakatan Nasional), perlu ada kekuatan dalam Umno Sabah, di mana Bersatu (negeri Sabah) semua dapat jawatan, manakala Umno Sabah tidak ada.

"Bagaimana kita nak berhadapan pada PRU akan datang? 

"Harus ada keseimbangan kedua-dua parti itu seperti yang disuarakan oleh pemimpin Umno Sabah," katanya dalam program khas bersama Pengerusi Umno Sabah anjuran Penerangan Umno Malaysia malam ini.

Program yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook itu dikendalikan oleh Dr Noor Azizan Abdul Majid selaku moderator.

Pada 17 April lalu, tersebar sepucuk surat ditandatangani Presiden Umno, Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menuntut agar beberapa pemimpin parti itu dari Sabah diberi jawatan dalam kerajaan Muhyiddin Yassin.


Baca: Zahid tuntut Muhyiddin lantik 4 pemimpin Umno Sabah


Surat itu antara lain meminta Bung Moktar dilantik sebagai pengerusi Jabatan Pembangunan Persekutuan Sabah.

Sedia berunding dengan parti selain Warisan

Sementara itu jelas Bung, Umno sedia berunding dengan mana-mana parti di Sabah yang tidak bersama Warisan dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Katanya, rancangan untuk berunding dengan Bersatu Sabah sebelum ini terhalang berikutan perintah kawalan pergerakan (PKP) akibat wabak Covid-19.

"Kita akan buat (rundingan dengan Bersatu). Cuma terhalang dengan PKP ini. Saya sendiri dengan pengerusi Bersatu (Sabah), Hajiji Mohd Noor akan membuat perbincangan.

"Insya-Allah, kita akan (adakan) perbincangan dengan Bersatu selepas PKP untuk susun strategi berhadapan Warisan dalam PRU.

"Umno Sabah sedia berunding dengan mana-mana parti yang tidak bersama dengan Warisan," katanya.

'PH ditubuhkan bukan atas dasar parti'

Sementara itu, Bung berkata Perikatan Nasional (PN) ditubuhkan atas kerjasama antara anggota parlimen dan bukan atas dasar parti.

Bung berkata, ini merupakan antara punca utama PN gagal diselaraskan di peringkat negeri.

"Perikatan Nasional ini diwujudkan untuk membentuk sebuah kerajaan antara MP (yang menyokong perdana menteri).

"Bukan atas dasar (sokongan) parti ke parti," katanya ketika menjawab persoalan mengapa PN tidak ditubuhkan di Sabah.

Menurut Bung, Umno Sabah tidak mempunyai masa yang cukup untuk membentuk PN di Sabah.

"Selepas kerajaan diwujudkan sudah ada (krisis) Covid-19.

"Jadi itulah kalau nak buat perbincangan sudah ada kekangan antara parti dengan parti," katanya.

PN merupakan gabungan politik yang terdiri daripada Bersatu, BN, PAS dan GPS susulan krisis politik yang dikenali sebagai 'Langkah Sheraton' pada Feb lalu.

Krisis politik selama dua minggu itu menyaksikan Bersatu menarik balik sokongan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH), manakala 10 anggota parlimen yang diketuai Azmin Ali keluar dari PKR untuk menyokong pembentukan kerajaan baru.

Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin akhirnya mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 1 Mac bagi menggantikan Dr Mahathir Mohamad.

Lihat Komen
ADS