Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lindungi kesihatan warga asing juga, kata NGO
Diterbitkan:  Apr 30, 2020 8:36 AM
Dikemaskini: 12:36 AM

Sekumpulan NGO menggesa kerajaan melakukan lebih banyak usaha melindungi kesihatan bukan warganegara di negara ini, dengan menegaskan langkah itu akan memberi manfaat kepada kesihatan seluruh rakyat Malaysia.

"Adalah menjadi tanggungjawab semua orang memastikan kesihatan bukan warganegara dijaga dengan sewajarnya," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan malam tadi.

Mereka berkata, ramai bukan warganegara terdedah kepada pelbagai penyakit termasuk Covid-19 akibat kesempitan hidup dan keadaan kerja mereka.

"Covid-19 memberi kesan kepada semua orang tidak kira tempat mereka lahir atau kewarganegaraan. Untuk penyakit ini dihapuskan sepenuhnya di negara ini, kita mesti menjaga kesihatan semua orang,"kata mereka.

Kenyataan itu ditandatangani bersama oleh Malaysian Health Coalition, Beyond Borders Malaysia, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Tenaganita.

Kumpulan itu mengalu-alukan langkah Kementerian Kesihatan menjalankan ujian Covid-19 terhadap kumpulan sasaran di kalangan warga asing.

Bagaimanapun, mereka berkata lebih banyak usaha perlu dilakukan dalam mendidik warga asing dan pelarian mengenai Covid-19.

"Pendidikan dan maklumat pencegahan mestilah dalam bahasa dan media yang mereka boleh akses dengan mudah dan difahami.

"Masyarakat asing dan pelarian juga perlu merasa cukup selamat untuk mendapatkan bantuan perubatan sekiranya mereka memerlukannya," katanya.

Kumpulan itu juga menggesa kerajaan memastikan sektor ekonomi yang bergantung kepada buruh asing mempunyai garis panduan dan prosedur yang jelas untuk menjaga kesihatan mereka.

"Garis panduan dan SOP perlu dibuat bersama-sama dengan Kementerian Kesihatan. Penguatkuasaan mesti dimasukkan dalam garis panduan ini, bersama-sama denda bagi ketidakpatuhan," kata mereka.

Mereka juga mendesak kerajaan memperkenalkan penangguhan sewa rumah bagi semua penduduk di Malaysia.

Ini akan membantu bukan sahaja warganegara Malaysia, tetapi juga pelarian dan warga asing yang bergelut untuk membayar sewa rumah mereka.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Amnesty International Malaysia mengkritik kenyataan Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob bahawa pendatang asing tanpa dokumen yang sah di kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) akan ditahan di pusat tahanan imigresen sebaik sahaja perintah itu ditarik balik.

Pengarah eksekutif interim Amnesty International Malaysia, Preethi Bhardwaj berkata, tindakan itu hanya akan meningkatkan risiko jangkitan Covid-19 di kalangan pendatang asing.

Sebaliknya, kerajaan harus memastikan akses kesihatan yang mencukupi kepada semua individu tanpa mengira kewarganegaraan.

“Semasa krisis kesihatan awam global, penahanan untuk alasan yang berkaitan dengan migrasi semata-mata tidak dapat diterima.

 "Pusat tahanan imigresen di Malaysia diketahui dengan keadaannya yang buruk. Pada masa pandemik global ini, menempatkan warga asing tanpa dokumen di pusat tahanan yang penuh sesak dan kotor dan disebut sebagai penjara khas hanya akan mempercepat penyebaran Covid-19," jelasnya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS