Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Covid-19: Hari ke-16 kes baru bawah 100, jumlah kini 6,002
Diterbitkan:  Apr 30, 2020 4:51 PM
Dikemaskini: 10:05 AM

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan, terdapat 84 pesakit Covid-19 yang pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang hari ini, menjadikan jumlah kes pulih kepada 4,171, atau 69.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Ia menjadikan hari ini hari ke-16 berturut-turut bilangan kes baru kurang daripada 100.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat 57 kes baru yang dilaporkan setakat pukul 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes setakat ini sebanyak 6,002 kes.

Daripada jumlah itu, bilangan kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula sebanyak 1,729 kes, katanya lagi.

"Daripada 57 kes baru, 25 adalah kes import, manakala 32 kes melibatkan penularan tempatan," katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Noor Hisham memaklumkan dua lagi pesakit meninggal dunia, menjadikan jumlah korban kini seramai 102 orang, iaitu 1.7 peratus daripada jumlah kes.

Sebanyak 36 pesakit kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), kurang empat berbanding semalam.

Daripada jumlah itu, seramai 14 pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan, juga kurang empat berbanding semalam.

Berikut adalah dua pesakit yang meninggal dunia:

Pesakit 4,657 (kematian ke-101)

Lelaki warga Malaysia berumur 64 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit barah darah.

Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19 daripada kluster PUI (pesakit bawah siasatan) Bali (iaitu kes ke-4,476).

Beliau telah dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Pahang pada 12 April dan disahkan meninggal dunia pada jam 4.14 petang, 29 April.

Pesakit 5,282 (kematian ke-102)

Lelaki warga Malaysia berumur 72 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi.

Beliau telah dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 16 April dan disahkan meninggal dunia pada jam 12.55 tengah hari, hari ini.

Berhubung kes di kawasan yang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD), Noor Hisham memaklumkan ada 10 kes baru dilaporkan di Selayang Baru, empat di sekitar pasar borong Selayang dan satu di Kampung Sungai Lui.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS