Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lantikan Khaled di Boustead timbulkan pelbagai persepsi - DAP
Diterbitkan:  May 1, 2020 12:45 PM
Dikemaskini: 4:45 AM

Pelantikan Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin sebagai pengerusi bukan bebas dan bukan eksekutif Boustead Holdings Bhd menimbulkan pelbagai persepsi, kata Pemuda DAP Johor.

Pengerusinya Sheikh Umar Bagharib Ali berkata pelantikan itu dibuat ketika beliau lantang menjadi suara semak dan imbang kepada kerajaan PN.

Malah, kata Adun Paloh, syarikat milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) itu berada bawah seliaaan Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob yang juga rakan sejawatnya dalam Umno.

“Pertama, dalam politik, pelantikan Khaled ke jawatan tersebut akan dilihat sebagai laba politik kepada seorang naib presiden Umno yang merupakan rakan sekutu dalam Perikatan Nasional.

“Apakah selepas lantang mengkritik PN, Khaled akhirnya mendapat habuan?” katanya.

Sheikh Umar Bagharib Ali 

Boustead dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan melantik Mohamed Khaled berkuat kuasa 1 Mei 2020.

Boustead berkata lantikan itu mengambil kira perkhidmatannya sebagai menteri besar sebelum ini dan pengalaman sebagai pengerusi Johor Corporation Bhd.

Sheikh Umar, bekas exco Johor di era PH juga berkata pelantikan Khaled akan mengundang persepsi bahawa ia adalah satu cagaran agar Umno terus memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada PN.

“Ketiga, mungkinkah pelantikan ini memberi isyarat agar Khaled harus tutup mulut dari terus mengkritik kerajaan PN khususnya PPBM sepertimana yang berlaku mutakhir ini di Johor?” katanya.

Lihat Komen
ADS