Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan diarah untuk memantau kegiatan perlombongan haram di Kampung Lawang, Tanah Merah yang didakwa dilakukan rakyat asing semasa tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) sehingga menyebabkan pencemaran sungai.

Menteri Alam Sekitar Tuan Ibrahim Tuan Man berkata kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menyebabkan pencemaran sungai.

"Keutamaan kita air mesti bersih," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan 11 Gerobok Covid-19 kepada Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan Dr Zaini Hussin di pekarangan Wisma Persekutuan di Kota Bharu hari ini.

Gerobok yang dihasilkan Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma) itu merupakan sumbangan peribadi Tuan Ibrahim dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu memudahkan petugas barisan hadapan membuat saringan terhadap individu yang disyaki dijangkiti Covid-19.

Jumaat lepas, isu itu mendapat perhatian selepas penduduk kampung yang mendapati air sungai tercemar melakukan pemerhatian dan mendakwa kira-kira 30 orang dipercayai rakyat asing melakukan kegiatan perlombongan haram.

Tuan Ibrahim berkata pihaknya akan meneliti setiap aduan berkaitan pencemaran air dan udara walaupun secara keseluruhan, tahap pencemaran bagi kedua-dua elemen berkurangan susulan pelaksanaan PKP.

"Pencemaran sampah di Sungai Klang berkurangan 50 peratus berbanding sebelum PKP dan pemantauan terhadap udara sangat baik. Cuma sungai ada banyak faktor lain yang sebabkan pencemaran seperti hakisan tanah akibat hujan," katanya.

Sementara itu, Exco Papisma Kelantan Prof Madya Dr Nik Rosmawati Nik Husain berkata gerobok itu dibina dengan kos RM2,300 dan ia mampu mengurangkan penggunaan peralatan perlindungan diri (PPE) di fasiliti kesihatan.

"Gerobok ini akan menghalang virus Covid-19 daripada terdedah secara terus kepada pengendali kerana ia mempunyai pengaliran udara yang positif," katanya.

- Bernama