Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Menteri kewangan perlu selesaikan isu faedah bank atau berundur'
Diterbitkan:  May 2, 2020 4:19 PM
Dikemaskini: 8:19 AM

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz harus mengambil tanggungjawab penuh dan mengundur diri susulan kekeliruan berkenaan kadar faedah dikompaun dan terakru bagi pinjaman sewa beli serta pembiayaan Islam berkadar tetap, kata Anggota Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil.

Dalam kenyataannya hari ini, Fahmi berkata kemarahan rakyat boleh difahami apabila menteri kanan (ekonomi) dan menteri kewangan sebelum ini tampil di kaca televisyen dan mengatakan moratorium berkenaan tidak akan dikenakan kadar faedah tersebut.

Fahmi berkata, saranan Zafrul agar bank-bank melupuskan faedah terakru sepanjang moratorium dilaksanakan hanya dibuat 39 hari selepas pengumuman Bank Negara Malaysia (BNM) pada 25 Mac.

“Ketiadaan penyelarasan dasar dan komunikasi dalam isu ini telah menyaksikan menteri kewangan semalam berkata pihak BNM perlu memperbaiki komunikasi.

“Hari ini pula, menteri kewangan telah menyarankan bank-bank untuk melupuskan faedah terakru sepanjang moratorium dilaksana.

“Menteri kewangan seharusnya mengambil tanggungjawab penuh di atas kegagalan penyelarasan di antara kerajaan, BNM dan bank-bank, serta kekeliruan yang timbul,” katanya.

Fahmi turut mempersoalkan mengapa Zafrul yang juga bekas pegawai bank, mengambil masa sebulan sejak 1 April dan baru kini memberikan saranan.

“Apakah menteri kewangan tidak faham bahawa ramai yang telah hilang kerja atau tidak mendapat gaji sepanjang PKP ini, dan telah membuat perkiraan perbelanjaan rumah tangga berdasarkan kenyataan-kenyataan sebelum mulanya moratorium ini?

“Oleh itu, Menteri Kewangan perlu selesaikan isu faedah ini dengan amat segera. 

"Jika beliau hanya mampu mengeluarkan nasihat atau saranan, jangan salahkan pihak lain dan beliau sendiri wajar mengundur diri,” kata Fahmi.

Meskipun BNM pada 25 Mac lalu menjelaskan faedah terakru akan dikenakan untuk pinjaman sewa beli dan pinjaman pembiayaan Islam jangka tetap, namun kebanyakan rakyat Malaysia mendakwa sebaliknya.

Lihat Komen
ADS