Pusat jagaan hadkan pengambilan kanak-kanak
Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia Anisa Ahmad menyarankan agar ahli persatuan itu mengurangkan jumlah anak yang dimasukkan ke pusat jagaan masing-masing sebanyak 50 peratus.
Anisa menjelaskan bahawa tindakan itu wajar dilaksanakan bagi melatih penjarakan sosial ketika pusat jagaan kanak-kanak beroperasi semula.
“Kita harus kurangkan jumlah kanak-kanak jika mahu melatih penjarakan sosial.
“Jadi sasaran kami, pusat jagaan mungkin hanya mengambil 50 peratus dari jumlah biasa, contoh (kami) hanya ambil 20 kanak-kanak dan bukannya 40 seperti biasa.
“Kami akan mengutamakan kanak-kanak petugas barisan hadapan dan kanak-kanak yang ibu-bapa mereka terpaksa bekerja,” katanya seperti dipetik portal The Star.
Pusat jagaan kanak-kanak antara perniagaan yang dibenarkan dibuka semula esok selepas Putrajaya telah melonggarkan perintah kawalan pergerakan yang sebelum ini dilaksanakan bagi membendung penularan Covid-19.
Antara kriteria lain, pengasuh juga harus memakai penutup muka, merekod suhu badan sesiapa yang masuk premis terbabit serta membersihkan pusat tersebut hari-hari.
Anisa menambah, dia menjangkakan kebanyakan pusat jagaan kanak-kanak memerlukan masa hingga sebulan sebelum memenuhi syarat bagi beroperasi.
“Tidak mungkin untuk beroperasi hari Isnin atau minggu depan,” katanya.
Jelasnya, beberapa pengasuh masih berada di kampung halaman mereka dan harus menjalani kuarantin diri selama 14 hari sebelum membuka semula pusat jagaan kanak-kanak mereka.
Ketika mengumumkan pelonggaran sekatan pada 1 Mei lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin merujuk secara khusus berkenaan penjagaan kanak-kanak dan menjelaskan keperluan mengurangkan jumlah anak yang dihantar ke pusat tersebut.
Beliau turut menggesa majikan membenarkan kakitangan masing-masing - yang mempunyai anak - agar dapat digilirkan bekerja dari rumah.
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

