Aplikasi MyTrace bantu k'jaan kesan individu dijangkiti Covid-19
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) telah membangunkan aplikasi MyTrace, bagi membolehkan kerajaan mengesan individu yang berada berdekatan dengan mereka yang dijangkiti Covid-19.
Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata, untuk memastikan keberkesanannya, sasaran penggunaan adalah sekitar 60 peratus pengguna telefon pintar di seluruh negara.
Menurutnya, MyTrace adalah pelengkap kepada aplikasi MySejahtera yang telah dilancarkan sebelum ini dan menggunakan teknologi bluetooth untuk pengesanan kontak (contact tracing) kepada individu positif Covid-19.
"Apabila telefon-telefon bimbit pengguna MyTrace berada dalam jarak dekat, telefon-telefon itu akan mengesan gelombang bluetooth untuk mengesan kehadiran masing-masing.
'Berdasarkan kekuatan gelombang bluetooth yang dikesan, jarak dan tempoh pertemuan pengguna-pengguna boleh dikenalpasti.
"Data yang dikumpul akan disimpan selama 21 hari di dalam telefon bimbit pengguna," kata Ismail ketika sidang media harian Majlis Keselamatan Negara berkenaan Covid-19 di Putrajaya hari ini.
Tambahnya, sekiranya terdapat kluster Covid19 yang baru dikesan, aplikasi MyTrace dapat membantu Kementerian Kesihatan untuk mengesan dan memutuskan jangkitannya secepat mungkin.
Bagaimanapun Ismail berkata aplikasi MyTrace hanya mengumpul maklumat pengguna yang telah dirahsiakan dan tidak mengumpul sebarang maklumat geo-lokasi.
"Pengesanan kontak (contact tracing) adalah sangat penting supaya dapat diketahui siapa yang pernah berada berdekatan dengan seseorang yang telah dikenalpasti positif Covid19.
"Kerajaan amat berharap supaya seramai mungkin rakyat akan memuat turun dan menggunakan MyTrace," jelasnya.
Aplikasi MyTrace kini boleh dimuat turun melalui Google Play Store bagi peranti jenis Android.
Manakala bagi versi iOS pula boleh didapati tidak lama lagi.
Setakat semalam, Malaysia mencatatkan 6176 kes Covid-19 dengan 103 kematian.
Bagaimanapun, 4,326 orang telah pulih dan 1,747 masih menerima rawatan.
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

