Covid-19 di Malaysia: 55 kes baru, 71 lagi pulih
Malaysia mencatatkan 55 lagi kes baru Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan kes yang pernah direkodkan ialah 6,353 kes.
Dalam sidang medianya hari ini, Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan bahawa daripada 55 kes baru itu, tujuh merupakan kes import.
Sebanyak 48 kes baru lain merupakan kes jangkitan tempatan, dengan 24 daripadanya dikesan di kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).
Noor Hisham juga memaklumkan bahawa sebanyak 71 lagi pesakit pulih dari jangkitan COvid-19, menjadikan jumlah keseluruhan yang sembuh iahal sebanyaj 4,484 atau 70.6 peratus.
Ini bermakna, sebanyak 1,764 kes aktif Covid-19 di Malaysia setakat tengah hari tadi.
Daripada jumlah itu, sebanyak 28 dirawat di Unit rawatan rapi, dengan 13 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.
Noor Hisham memaklumkan bahawa tiada kematian baru dilaporkan setakat tengah hari tadi.
Jumlah korban Covid-19 di Malaysia kekal 105 atau 1.65 peratus daripada jumlah keseluruhan kes yang direkodkan.
Sementara itu, dalam sidang media hari ini, Noor Hisham juga mengingatkan bahawa selagi rakyat malaysia patuh SOP di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), selain mengamalkan norma baru, penularan Covid-19 akan diputuskan.
Rakyat disaran muat turut MySejahtera
Noor Hisham turut menyorot aplikasi MySejahtera yang dibangunkan kerajaan bagi membantu dalam pengawasan penularan Covid-1.
MySejahtera membolehkan pengguna melaksanakan penilaian kesihatan kendiri (self-assessment) di samping membantu KKM mendapatkan maklumat awal tahap kesihatan individu untuk mengambil tindakan yang cepat dan berkesan.
Antara fungsi MySejahtera adalah pengesan hotspot ataupun “Hotspot tracker” iaitu pengguna boleh mendapatkan maklumat kawasan hotspot kes Covid-19 dalam lingkungan satu kilometer dari lokasi pengguna atau alamat carian.
Ia juga memberi maklumat berkaitan fasiliti saringan Covid-19 yang terdekat dan bantuan nasihat secara atas talian.
"Selain untuk diri sendiri, pengguna juga boleh mendaftarkan maklumat berhubung ahli keluarga yang tidak mempunyai telefon pintar, di mana MySejahtera akan turut membantu menilai tahap kesihatan ahli keluarga atau individu lain yang didaftarkan.
"Pengguna yang telah memuat turun aplikasi ini perlu mengemas kini kepada versi terbaharu bagi mendapat manfaat penuh MySejahtera. Aplikasi ini akan ditambah baik dengan ciri-ciri terkini dan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
"KKM menyeru semua rakyat Malaysia dan juga bukan warganegara Malaysia yang berada di negara ini untuk memuat turun aplikasi MySejahtera, serta melakukan penilaian kendiri untuk mengetahui risiko terhadap jangkitan Covid- 19 melalui aplikasi ini," katanya.
Selain itu, Noor Hisham memaklumkan bahawa Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) telah membangunkan aplikasi MyTrace.
Aplikasi itu membolehkan kerajaan menjalankan pengesanan kontak kepada individu yang disahkan positif Covid-19.
"MyTrace adalah pelengkap kepada aplikasi MySejahtera. Pengesanan kontak (contact tracing) adalah sangat penting supaya dapat diketahui siapa yang pernah berada berdekatan dengan seseorang yang dikenal pasti positif Covid-19.
"MyTrace tidak mengumpul sebarang maklumat geo-lokasi pengguna, sebaliknya merekodkan log gelombang Bluetooth apabila pengguna berada berdekatan antara satu sama lain.
"Kedua-dua aplikasi ini adalah percuma dan rakyat adalah digalakkan untuk mendapatkan kedua-dua aplikasi ini," katanya.


