Insiden 28 Mei: Suhakam enggan jalankan siasatan awam
Wakil-wakil dari beberapa buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik meninggalkan mesyuarat dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang baru lima minit berlangsung kerana kecewa dengan keputusan badan itu enggan menjalankan siasatan awam terhadap insiden keganasan polis pada demonstasi membantah kenaikan harga petrol dan tarif elektrik pada 28 Mei lalu.
Wakil-wakil dari beberapa buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik meninggalkan mesyuarat dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang baru lima minit berlangsung kerana kecewa dengan keputusan badan itu enggan menjalankan siasatan awam terhadap insiden keganasan polis pada demonstasi membantah kenaikan harga petrol dan tarif elektrik pada 28 Mei lalu.
Mereka kecewa dengan dengan pengumuman Pengerusi Suhakam, Tan Sri Abu Talib Othman yang mengatakan pihaknya memerlukan lebih banyak bukti sebelum memutuskan untuk mengadakan siasatan awam atau tidak berhubung insiden berkenaan.
Menurut Abu Talib (dua dari kanan), suruhanjaya perlu menunggu hasil siasatan dalaman polis terlebih dahulu dan mahu memastikan jika ada pihak yang akan didakwa berkaitan insiden keganasan pada tunjuk perasaan tersebut.
" Kami tidak boleh menjalankan siasatan awam jika ada tindakan mahkamah berhubung insiden itu,"katanya.
Abu Talib juga berkata, Suhakam perlukan bukiti-bukti kukuh dan pengakuan dari saksi untuk menentukan samaada ada keperluan untuk dijalankan siasatan awam.
Beliau mendakwa, setakat ini semua rasa tidak puas hati yang didengarnya hanya 'cakap-cakap kosong' dan luahan 'emosi' dari orang ramai dan mangsa yang cedera.
Beliau berkata, bukti dan keterangan yang diperolehi dari siasatan polis dan saksi akan membantu Suhakam merumuskan samaada siasatan awam perlu dibuat atau tidak.
"Kami perlukan bukti jelas yang boleh menyokong dakwaan-dakwaan yang terkandung di dalam memorandum,"ujarnya.
"Kami tidak boleh menyiasat segala benda yang kamu semua mahu kami siasat," tegasnya bila ditanya oleh Setiausaha Agung Persatuan Hak Asasi Manusia Malaysia (Hakam), Elizabeth Wong tentang bukti yang dikemukakan oleh mangsa-mangsa insiden berdarah itu.
Pada 28 Mei lalu polis bersenjatakan cota dan perisai menyerang beberapa orang ketika menyuraikan kira-kira 500 orang penunjuk perasaan yang membantah kenaikkan harga minyak dan tarif elektrik di hadapan menara berkembar Petronas, Jalan Ampang.
Dua orang dilaporkan parah - seorang menerima lima jahitan di kepala dan seorang lagi patah tangannya.
Turut menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap keputusan Abu Talib itu ialah ahli seketariat Suara Rakyat Malaysia (Suaram), S Arutchelvan.
Menurutnya, siasatan awam perlu dilakukan untuk menentukan samaada segala dakwaan tentang keganasan polis itu benar atau tidak.
"Kita perlukan siasatan awam untuk mencari kebenaran. Jika tidak dijalankan siasatan, bagaimana hendak ditentukan yang salah dan yang mana betul," ujarnya.
"Jika anda tidak berminat menjalankan siasatan, kami juga tidak suka berada di sini," Arutchelvan memberitahu barisan Pesuruhjaya Suhakam yang hadir dalam mesyuarat tersebut.
Abu Talib pula membalas dengan berkata; " Jika begitu, anda semua boleh keluar." Semua 30 orang wakil NGO dan parti politik itu terus bergegas meninggalkan bilik mesyuarat berkenaan.
Sebelum pertemuan tersebut kumpulan tersebut mengadakan demonstrasi aman di hadapan pejabat Suhakam bagi mendesak diadakan siasatan awam terhadap insiden 28 Mei itu.
Selepas keluar dari bilik mesyuarat tersebut, Arutchelvan menyelar kenyataan Abu Talib itu sebagai 'mengarut' dan mempersendakan hak asasi manusia.
"Sikap Abu Talib itu menunjukkkan ketidakperihatinan Suhakam bagi menjalankan siasatan awam. Kami tidak mahu mendengar alasan-alasan yang mengarut ini,"tambahnya.
Sementara itu Abu Talib menyifatkan tindakan 'keluar dari bilik mesyuarat' oleh wakil NGO dan parti politik itu sebagai satu 'demonstrasi tidak adil terhadap pihak lain'. Katanya, mereka berlaku tidak adil kepada polis.
"Kami tidak boleh melayan orang emosional. Semua orang mempunyai hak untuk bersuara dan untuk didengar pendapatnya," beliau memberitahu wartawan selepas kejadian 'protes' wakil-wakil (NGO) dan parti politik itu.
Sementara itu Pesuruhjaya Suhakam, N Siva Subramaniam yang sebelum ini telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Bakri Omar bagi menyampaikan perhatian suruhanjaya tersebut terhadap insiden berdarah 28 Mei itu pula berkata, Suhakam tidak menolak kemungkinan akan diadakan siasatan awam itu.

