Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Negeri enggan buka semula ekonomi boleh disaman pihak industri - Azmin
Diterbitkan:  May 4, 2020 9:09 PM
Dikemaskini: 1:46 PM

Menteri Kanan Mohamed Azmin Ali mengingatkan kerajaan negeri kemungkinan tindakan undang-undang yang boleh diambil oleh pihak industri jika ekonomi tidak dibuka semula di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) seperti yang diputuskan oleh kerajaan pusat.

Azmin menegaskan bahawa keputusan kerajaan persekutuan membuka semula ekonomi adalah sah dari segi undang-undang.

"Sekiranya kerajaan negeri tidak memberikan kerjasama untuk melaksanakan Akta 342 yang telah dijadikan undang-undang yang berkuatkuasa di seluruh negara, kerajaan-kerajaan negeri berkenaan mungkin terdedah kepada tindakan undang-undang daripada pelbagai pihak, khususnya dari pihak industri.

"Akta 342 telah digubal dan dikuatkuasakan mulai 1 April 1989 berikutan persetujuan negeri-negeri pada masa itu termasuklah Sabah dan Sarawak untuk mewujudkan satu undang-undang yang seragam bagi tujuan mencegah dan mengawal penyakit berjangkit di Malaysia dan berkuat kuasa di seluruh negara," katanya merujuk kepada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Azmin juga menyifatkan bahawa kerajaan negeri yang ingkar untuk membuka semula ekonomin tidak bersandarkan kepada punca kuasa yang sah di bawah mana-mana undang-undang dan bercanggah dengan dasar kerajaan persekutuan.

"Lebih-lebih lagi memandangkan dasar kerajaan persekutuan tersebut telah pun dijadikan undang-undang yang berkuatkuasa di seluruh negara.

"Dalam hal ini, peraturan-peraturan yang dibuat di bawah Akta 342 adalah undang-undang khusus bagi tujuan mencegah dan mengawal penularan Covid-19.

"Oleh itu, ia mengatasi (prevail) peruntukan undang-undang bertulis yang lain berhubung dengan pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Telah dibentang kepada menteri besar, ketua menteri

Azmin turut menyorot gesaan beberapa NGO, termasuk Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) yang menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak boleh menghalang mana-mana syarikat untuk memulakan operasi bermula 4 Mei.

Azmin menjadi tumpuan kritikan pihak yang melihatnya sebagai bertanggungjawab atas "kegagalan" susulan beberapa negeri tertentu enggan mematuhi keputusan kerajaan persekutuan membuka semula ekonomi.

Keputusan untuk membuka semula sektor-sektor ekonomi di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dibuat dengan penuh teliti, berhati-hati dan bertanggungjawab serta didokong oleh data dan kajian oleh Kementerian Kewangan, MITI, Bank Negara Malaysia dan Khazanah Nasional Berhad," kata Azmin.

Azmin menambah bahawa hasil kajian berhubung keputusan itu telah dibentangkan untuk perbincangan dengan Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri semasa Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara pada 28 April.

Berdasarkan perbincangan itu, katanya, kerajaan negeri sedar bahawa sekiranya perintah kawalan pergerakan (PKP) yang sedia ada dilanjutkan sehingga Jun 2020, kesan kumulatif kehilangan pendapatan negara dianggarkan sebanyak RM146 billion atau kekurangan sebanyak 10.3 peratus KDNK.

"Keadaan ini akan menghapuskan kemajuan ekonomi yang telah dicapai sepanjang empat tahun yang lalu.

"Sehubungan dengan itu, mesyuarat ini telah bersetuju untuk membuka semula sektor-sektor ekonomi dalam tempoh PKPB bermula 4 Mei," katanya.

"Dakwaan bahawa kerajaan memulakan semula (restart) ekonomi dalam keadaan tergesa-gesa adalah tidak benar dan tidak berasas," katanya lagi.

Enam negeri sebelum ini dilaporkan tidak akan membuka semula sektor ekonomi bermula hari ini dan akan meneruskan PKP.

Negeri-negeri berkenaan ialah Sarawak, Sabah, Pulau Pinang, Pahang, Kelantan dan Kedah.

Pulau Pinang akan meneruskan aktiviti perniagaan pada 8 Mei tetapi mengekalkan sekatan PKP lain, seperti menyekat sebarang aktiviti rekreasi sehingga 12 Mei.

Pahang, Kelantan dan Kedah akan membincangkan sama ada akan membuka semula sektor ekonomi minggu hadapan.

Kerajaan negeri Selangor, Perak dan Negeri Sembilan membenarkan perniagaan dibuka bermula esok.

Namun ketiga-tiga negeri itu tidak akan membenarkan pelanggan makan di restoran.

Dalam kenyataan sama, Azmin turut menegaskan bahawa keputusan kerajaan untuk memulakan semula ekonomi adalah berdasarkan tanda aras Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Malah, katanya, inisiatif kerajaan dalam menangani pandemik Covid-19 telah diiktiraf antara yang terbaik di dunia.

"Sehubungan dengan ini, kerajaan negeri adalah diminta untuk bekerjasama dalam melaksanakan keputusan kerajaan persekutuan supaya negara dapat menjana semula keupayaan ekonomi.

"Kerajaan yakin kita mampu memerangi pandemik Covid-19 ini dengan jayanya sebagai satu pasukan.  Kita telah berganding bahu dalam melaksanakan PKP demi membendung penularan wabak Covid-19.

"Sekarang ini, kita perlu terus bersatu serta memperkukuhkan kerjasama demi kelangsungan ekonomi dan kesejahteraan rakyat," katanya.

Lihat Komen
ADS