Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Ahli Parlimen Machang Ahmad Jazlan Yaakub berkata pemberian jawatan tidak akan mampu mengikat dirinya daripada berpegang kepada pendirian sendiri.

Ahmad Jazlan yang dilantik menjadi pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bulan lalu, berkata beliau menerima pelantikan itu untuk berkhidmat kepada negara, bukannya untuk menjadi individu yang "diikat" pihak lain.

"Kalau ada pihak yang menganggap bahawa boleh mengikat saya dengan memberikan jawatan pengerusi GLC (syarikat berkaitan kerajaan) ini, mereka silap.

“[...] Kalau nak fikir 'MP Machang seorang (sudah) selesai masalah, kita sudah bagi jawatan', ini silap.

“Saya ada pendirian saya sendiri,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Meskipun tidak menyebut mana-mana pihak secara khusus, Ahmad Jazlan yang juga pengerusi Umno Kelantan dipercayai merujuk kepada persaingan dengan rakan gabungan dalam Perikatan Nasional (PN) iaitu Bersatu.

Kerajaan PN dipimpin oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang juga presiden Bersatu, di saat Umno memiliki jumlah kerusi Parlimen paling banyak dalam gabungan itu.

Sebelum ini, terdapat pihak yang mendakwa Bersatu menguasai kementerian utama dengan pemimpin Umno diberi portfolio yang dilihat kurang penting.

Pada masa sama terdapat juga isu pengagihan jawatan dalam GLC dan agensi kerajaan, seperti yang disuarakan beberapa pemimpin Bersatu Johor.

Umno Sabah pula menuntut perdana menteri supaya meletakkan pemimpinnya dalam kerajaan supaya dapat bersama dalam kewujudan PN.

Berkenaan dirinya yang merupakan antara pemimpin Umno yang dilantik mengetuai GLC, Ahmad Jazlan berkata beliau hanya akan menyokong kerajaan yang benar-benar berusaha memastikan kebaikan negara.

“Kerajaan mana saya nak sokong, selagi saya melihat kerajaan tersebut betul-betul memastikan kelestarian negara, itu saya boleh sokong,” katanya lagi.

Untuk rekod, beliau dilantik sebagai pengerusi MPOB berkuat kuasa 8 April 2020.

Sebelum ini, satu senarai berhubung pelantikan sejumlah pemimpin Umno dalam GLC disebarkan di media sosial, yang antara lain menyebut Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, bakal menjadi pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Mohamad telah mengesahkan beliau menolak pelantikan itu.

Selain Mohamad, beberapa nama lain turut timbul, termasuklah veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah sebagai pengerusi Petronas, naib presiden Mahdzir Khalid sebagai pengerusi TM, dan Anggota Majlis Tertinggi Umno Tajuddin Abdul Rahman sebagai pengerusi Prasarana Malaysia Bhd.

Bagaimanapun, Mahdzir dan Tajuddin kedua-duanya menyatakan mereka belum mendapat apa-apa pengesahan berkenaan khabar angin tersebut.

Lihat Komen
ADS