Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tajuddin: Ketuai Prasarana sekadar 'cakap-cakap', tiada hitam putih

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Tajuddin Abdul Rahman menyifatkan laporan mengaitkannya dengan pelantikan pengerusi Prasarana Malaysia Bhd bersifat khabar angin.

Beliau berkata, sehingga kini belum ada sebarang "hitam putih" mengenai "khabar angin" yang dilaporkan media itu.

"Tak tahulah, itu cakap-cakap saja, masih lagi bersifat khabar angin. 'Cakap mulut' saja mana boleh pakai.

"Perlu ada hitam putih (pengesahan), setakat ini belum ada hitam putih," katanya kepada Malaysiakini, ketika dihubungi hari ini.

Prasarana terlibat dalam perkhidmatan pengangkutan dan memiliki kereta api LRT di Kuala Lumpur, Monorail dan MRT.

Sebelum itu sebuah portal berita melaporkan bahawa dua pemimpin Umno iaitu, Naib Presiden Mahdzir Khalid dan Tajuddin yang juga anggota Parlimen Pasir Salak akan dilantik mengetuai syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Mahdzir Khalid 

Mahdzir menurut laporan itu akan dilantik sebagai Pengerusi Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan Tajuddin mengetuai Prasarana.

Menurut laporan itu kedua-dua pemimpin Umno berkenaan telah bersetuju untuk memegang jawatan itu dan menunggu pengumuman akan dibuat mengenainya.

Bagaimanapun sehingga kini Malaysiakini masih gagal mendapatkan respons Mahdzir yang juga bekas menteri pendidikan era BN berhubung perkara itu.

Pada 12 April lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) Takiyuddin Hassan berkata, semua anggota parlimen kerajaan persekutuan akan dilantik mempengerusikan agensi atau GLC.

Ia membabitkan anggota parlimen yang tidak dilantik sebagai menteri mahupun timbalan menteri.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Lihat Komen
ADS