Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal telah menghantar usul untuk memulakan undi percaya terhadap Dr Mahathir Mohamad di parlimen.

Langkah itu bagi membuktikan MP Langkawi terbabit masih mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat, yang merupakan syarat untuk seseorang menjadi perdana menteri.

Ketika dihubungi Malaysiakini, pejabat Speaker Dewan Rakyat Mohamed Ariff Yusof mengesahkan menerima notis usul tersebut yang bertarikh 1 Mei.

Shafie yang juga MP Semporna berkata di dalam notis itu, bahawa beliau tidak berniat bercanggah dengan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk melantik perdana menteri, tetapi sebaliknya langkah itu bertujuan memaklumkan baginda mengenai siapa yang mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

“Selanjutnya, dengan niat tidak bertentangan kepada Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan iaitu kuasa melantik seorang perdana menteri oleh Yang Di-Pertuan Agong, usul ini dizahirkan melalui Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat (Parlimen Malaysia) ini sebagai penzahiran akan perkara ini kepada seluruh rakyat jelata dan juga sebagai sembah maklum kepada Yang Di-Pertuan Agong/Istana Negara," kata notis itu yang dilihat Malaysiakini.

Ketika dihubungi tengah hari tadi, Mohamed Ariff turut mengesahkan menerima notis berkenaan tetapi enggan mengulas lanjut.

Katanya, setiausaha Dewan Rakyat akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu esok.

“Tunggu kenyataan penuh oleh setiausaha Dewan Rakyat esok,” katanya melalui satu pesanan teks.

Malaysiakini sudah menghubungi dan sedang menunggu maklum balas daripada Shafie.

Kurangkan risiko jangkitan

Untuk rekod, Bersatu kini terpecah dua dengan setiap satu kumpulan penyokong Muhyiddin Yassin, dan satu lagi yang menyokong Mahathir.

Muhyiddin ialah presiden Bersatu manakala Mahathir pengerusi parti berkenaan.

Kerajaan PH tumbang pada lewat Feb lalu setelah Muhyiddin membawa Bersatu keluar dari gabungan terbabit dan bekerjasama dengan bekas ahli PKR yang keluar parti, diketuai bekas timbalan presidennya, Azmin Ali.

Melalui kerjasama dengan Umno, MCA, MIC dan PAS, mereka membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Mahathir telah membayangkan bahawa dia mahu kembali menguasai parti itu dalam pemilihan Bersatu, serta untuk menarik keluar parti tersebut dari kerajaan PN.

Sokongan majoriti terhadap Muhyiddin di dalam Parlimen menjadi perdebatan, memandangkan Mahathir dan PH turut mendakwa mereka mempunyai majoriti.

Kedudukan Muhyiddin setakat ini belum teruji memandangkan belum ada persidangan Parlimen sejak dia mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kelapan pada 1 Mac.

Pada asalnya, sesi pertama Dewan Rakyat bagi tahun ini dijadualkan bersidang pada 9 Mac, tetapi kemudiannya ditangguhkan kerana wabak Covid-19.

Ia kini dijadualkan pada 18 Mac, tetapi hanya akan bersidang untuk satu hari sahaja, kerana kerajaan mahu mengurangkan risiko jangkitan.

Blok pembangkang menggesa kerajaan untuk menjalankan sidang Dewan Rakyat sekurang-kurangnya untuk dua minggu, memandangkan hampir semua sektor ekonomi pun telah dibuka semula di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB). 

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS