Malaysiakini
BERITA

'Mazlan bohong, kaki penipu'

Yasmin Ramlan

Diterbitkan
Dikemaskini 9 Mei 2020, 1:11 tengahari

Bekas menteri besar Johor, Osman Sapian menolak kenyataan Pengerusi Bersatu negeri itu, Mazlan Bujang bahawa pertikaian antara parti itu dengan Umno telah selesai selepas pertemuan bersama Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin semalam.

Osman yang turut hadir dalam pertemuan itu sebaliknya menyifatkan Mazlan berbohong.

"Tak selesai. Mazlan bohong. Dia kaki penipu," katanya menerusi pesanan WhatsApp kepada Malaysiakini.

Malaysiakini sedang berusaha menghubungi Mazlan bagi mendapatkan respons.

Osman yang juga Adun Kempas dari Bersatu berkata demikian apabila ditanya mengenai kenyataan Mazlan yang mengatakan masalah yang wujud antara parti itu dan Umno telah berjaya diselesaikan.

"Dah selesai," kata Mazlan seperti dilapor Malaysiakini semalam.

BH Online  hari ini melaporkan Osman memberitahu kemelut antara Bersatu dan Umno masih belum selesai dengan pertemuan bersama Muhyiddin.

"Semalam dicadangkan supaya jawatankuasa pemimpin antara parti ditubuhkan bagi membincang dan menyelesaikan masalah yang tertunggak.

"Perdana Menteri juga mahu kerjasama antara dua parti dieratkan lagi dengan keputusan dibuat perlulah menghormati semua parti di dalam PN, sekali gus tidak mengetepikan mana-mana pihak," katanya.

Ketegangan antara Bersatu dan Umno di Johor menggugat kestabilan politik di negeri itu sehingga timbul cakap-cakap akan berlakunya pilihan raya negeri.

Perikatan Nasional (PN) memiliki hanya 29 kerusi DUN di Johor berbanding 27 daripada Pakatan Harapan (PH). Sekiranya ada Adun PH melompat parti, ini akan menyebabkan DUN tergantung. 

Bersatu Johor sendiri sebelum ini dilaporkan bergolak apabila pelantikan Mazlan sebagai pengerusi Bersatu Johor mendapat bantahan daripada kalangan pemimpin Bersatu Johor sendiri.


Baca: Bersatu Johor ibarat retak menanti belah - Khaled


Pertemuan antara majoriti ketua bahagian Bersatu Johor pada 5 Mei lalu dilaporkan mencapai kata sepakat agar bekas menteri besarnya, Sahruddin Jamal dilantik sebagai pengerusi negeri.

Pertemuan bersama Muhyiddin di Putrajaya semalam pula diadakan selepas Bersatu mendakwa Umno meminggirkan mereka dalam soal pelantikan jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan kerajaan tempatan.

Mazlan yang juga Adun Puteri Wangsa berkata, beberapa perkara seperti isu pelantikan ahli majlis hanyalah merupakan salah faham memandangkan mereka tetap dikekalkan jawatan apabila PN mengambil alih kerajaan negeri.

Difahamkan selain Mazlan, Osman dan Sahruddin, pemimpin yang hadir dalam pertemuan itu termasuklah Menteri Besar Johor, Hasni Mohammad dan Exco Johor, Samsol Bari Jamali.

Bagaimanapun, salah seorang sumber dari Bersatu yang turut hadir dalam pertemuan itu tidak menafikan kenyataan Mazlan bahawa kemelut politik antara parti itu dan Umno telah selesai.

Ditanya sama ada tiada sebarang kata sepakat dicapai, beliau berkata:

"Saya tak kata tiada (kata sepakat). Kami setuju dengan beberapa cadangan PM dan akan dilaksanakan serta yakin ia akan dapat dicapai bagi memperkukuhkan hubungan politik dan program kerajaan negeri," katanya kepada Malaysiakini. 

Malaysiakini telah cuba mendapatkan respons daripada pemimpin lain yang hadir dalam pertemuan itu, seperti Hasni dan Sahruddin.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan