Presiden PKR Anwar Ibrahim hari ini berkata bahawa beliau tidak pernah menganggap Dr Mahathir Mohamad sebagai musuh, tanpa menghiraukan apa pun yang dilakukannya selama ini dalam politik.

Dalam rancangan bual bicara khas di Facebook Live pagi ini, ketua pembangkang itu memberitahu para hadirin bahawa beliau tidak pernah menyimpan dendam dengan sesiapa termasuk bekas anggota parti yang mengkhianatinya.

“Ada orang nak cadang supaya saya musuh secara peribadi, saya tak musuh.

“Soal dia nak buat kenyataan menyerang atau dia mungkir janji, itu soal dia bukan soal saya.

“Saya fikir kita mesti jaga nilai kemanusiaan dan adab serta memenuhi tanggugjawab kalau kita sebut adab dan akhlak,” katanya.

Jawapannya itu susulan kepada beberapa persoalan mengenai kenyataan bersama baru-baru ini yang dibuatnya dengan pengerusi Bersatu dan tindakan dua Adun PKR Kedah yang berpaling tadah awal minggu ini.

“Kalau kita sebut adab dan akhlak, kalau kita janji wajib tunaikan.

“Kalau tidak, beri penjelasan dan mohon maaf ,” katanya.

Walaupun Anwar tidak secara khusus meyebut sebarang nama, adalah dipercayai bahawa nasihat itu merujuk kepada janji Dr Mahathir untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepada dirinya semasa Pakatan Harapan masih berkuasa.

Berdasarkan perjanjian gabungan itu sebelum memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018, Mahathir bersetuju untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar sebelum penggalnya berakhir. Walau bagaimanapun tidak ada garis masa yang ditetapkan untuk perkara itu.

Namun, perjanjian berkenaan berkecai apabila kerajaan PH tumbang pada akhir Februari lalu setelah kudeta politik yang disebut sebagai “Langkah Sheraton”. Langkah itu menyaksikan gabungan longgar yang terbentuk di antara puak Bersatu yang dipimpin oleh presidennya, Muhyiddin Yassin, Umno, PAS dan GPS mengambil alih pentadbiran persekutuan.

Sementara itu, dalam menangani kritikan berhubung pernyataan bersama baru-baru ini dengan Dr Mahathir, Anwar berkata, ini tidak bermaksud bahawa PH masih terikat dengan perjanjian lama bersama bekas perdana menteri itu.

Katanya, meskipun beliau menghargai keprihatinan dan kritikan berhubung kemesraannya terhadap Mahathir tanpa mengira apa yang telah terjadi di antara mereka, Anwar berkata bahawa kenyataan itu dibuat berdasarkan alasan bahawa beliau sekarang adalah ketua pembangkang yang turut dianggotai oleh puak Bersatu yang ada bersama dengan Mahathir.

“Saya telah diminta dan ditegur, dan diserang bertubi-tubi lanjutan kenyataan bersama saya dengan Tun Dr Mahathir.

“Tapi kalau kita baca isi kenyataan itu, itu hanya mengajak masyarkat memahami pendirian pembangkang keseluruhannya.

“Dan saya tandatangani sebagai ketua pembangkang, tugas ketua pembangkang itu bukan sahaja pengerusi PH, tapi semua termasuk Bersatu bawah Mahathir dan Warisan di Sabah sebab itu saya buat kenyataan bersama.

“Walaupun ditegur keras tetapi saya terima baik,” kata Anwar.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan sempena ulang tahun kedua kemenangan PH pada PRU14 pada 9 Mei 2018, Anwar dan Mahathir berbicara tentang bagaimana gabungan itu mengekalkan demokrasi ketika mereka berkuasa.

Baca kenyataan bersama di sini.

Mengulas lanjut, Anwar juga mempertahankan keputusannya untuk menerima Mahathir bersama perjuangan PH semasa beliau di penjara, dengan berkata bahawa adalah perlu untuk membentuk gabungan pembangkang yang kuat untuk berdepan gabungan BN ketika itu.

“Ini saya nak jelaskan bahawa kenyataan itu tak bermakna saya masih terikat dengan kerjasama yang lama kerana kami telah terkeluar dan Bersatu sendiri pun memilih untuk keluar.

“Kita juga belajar dari tindakan lalu kerana beberapa tindakan besar PH tidak dirundingkan dan saya tentulah diketepikan sama sekali.

“Tetapi ini bukan pertimnbangan. Pertimbangnya ialah kembali pada idealism perjuangan. Ujiannya ialah bila kita ada kuasa.

“Harap ini boleh meleraikan sedikit. Pada saya, ini tahap PH memimpin perubahan dalam pembangkang, bekerjasama dengan ahli-ahli lain tapi pimpinannya itu Pakatan Harapan,” katanya.