Sri Petaling, pusat wabak Covid-19 di Malaysia susulan perhimpunan keagamaan yang diadakan pada akhir Februari, bukan lagi zon merah.

Menurut data Kementerian Kesihatan, Sri Petaling kini menjadi zon kuning dengan 30 kes aktif, turun dari 41 berbanding hari sebelumnya.

Kementerian Kesihatan mendefinisikan zon merah sebagai kawasan dengan lebih 40 kes Covid-19 aktif sementara zon kuning adalah kawasan yang mempunyai tidak lebih 40 kes Covid-19 aktif. Zon hijau merupakan kawasan bebas daripada jangkitan.

Sri Petaling bukanlah satu-satunya kawasan di Kuala Lumpur yang menunjukkan peningkatan kerana Bukit Jalil beralih dari zon kuning ke zon hijau setelah pesakit Covid-19 aktif terakhir pulih.

Namun, Pudu di Kuala Lumpur tergelincir ke zon merah setelah mencatatkan 10 kes baru tambahan, menjadikan jumlah keseluruhan 50 kes Covid-19 yang aktif.

Kawasan itu kini berada di bawah perintah kawalan pergerakan diperkasakan.

Serian, Sarawak juga merosot dari status zon hijau ke zon kuning setelah mencatat lima kes baru Covid-19.

Sehingga kini, terdapat tujuh zon merah, 68 zon kuning dan 126 zon hijau, menurut Kementerian Kesihatan. Data itu dikemas kini sehingga tengah hari semalam.

Kira-kira 16,000 orang dari seluruh negara, serta beberapa pengunjung asing, telah menghadiri perhimpunan keagamaan di Sri Petaling yang berlangsung dari 27 Februari hingga 1 Mac.

Mereka kemudian kembali ke kampung halaman mereka, mencetuskan banyak subkluster di seluruh negara.

Negara ini di bawah perintah kawalan pergerakan sejak 18 Mac sebelum diberi kelonggaran bersyarat pada 4 Mei.

Kluster Sri Petaling, untuk pertama kalinya, tidak merekodkan kes baru pada 12 Mei.

Setakat ini, zon merah lain adalah Ibu Kota (70), Kampung Bharu (70) dan Batu (58) di Kuala Lumpur, Petaling (54) di Selangor, Rembau (160) di Negeri Sembilan dan Kuching (60) di Sarawak.