Nota editor: Laporan ini dikemas kini pada 21 Mac 2020 bagi mencerminkan perkembangan terbaru. Angka yang dikemas kini ditandakan dengan garisan di bawahnya.


Lebih dua bulan setelah tertubuhnya kerajaan Perikatan Nasional (PN), ramai anggota Parlimen gabungan itu telah dilantik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi kerajaan, serta untuk jawatan diplomatik yang baru diwujudkan.

Sebelum ini, kebanyakan jawatan itu diisi oleh teknokrat. Ini membayangkan politik, dan bukannya merit, yang menjadi pertimbangan utama pentadbiran semasa.

Bagi memahami politik di sebalik pelantikan ini, Malaysiakini meneroka komposisi tiga pelantikan utama.

Pertama adalah jawatan dalam kabinet, kedua jawatan timbalan menteri dan ketiga, pelantikan sebagai ketua GLC, agensi kerajaan, lembaga pengarah dan duta khas.

Semakan terhadap pentadbiran lalu menunjukkan menteri kabinet, selain perdana menteri, lazimnya tidak diberi kebebasan penuh untuk membuat pelantikan dalam jawatan utama agensi kerajaan atau lembaga pengarah di bawah kementerian mereka.

Para calon akan dinilai oleh Pejabat Perdana Menteri dan pihak yang berkaitan.

Naib juara yang menang

Secara tradisi, parti terbesar dalam gabungan pemerintah akan melantik anggota dalam parti komponen dalam tiga kategori itu, dan ia boleh dikatakan berkadar dengan jumlah kerusi yang dimenangi.

Tradisi ini ditinggalkan oleh pentadbiran PH, apabila Bersatu - parti paling kecil dalam gabungan - memegang jawatan menteri dan timbalan menteri yang tidak berkadar dengan jumlah kerusi yang dimenangi, berbanding parti-parti sekutunya.

Untuk memahami aspek perkadaran dalam pentadbiran PN, artikel ini ditulis dengan anggapan gabungan itu memiliki 113 anggota Parlimen, berdasarkan perkembangan di Dewan Rakyat semalam.

Walaupun Bersatu hanya merangkumi lebih suku (28.32 peratus) daripada jumlah anggota Parlimen, presidennya Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri.

Umno yang merupakan parti terbesar pula merangkumi kira-kira satu pertiga (34.51 peratus) anggota Parlimen kerajaan.

Bagaimanapun ketika Muhyiddin merangka pelantikan dalam Kabinet, Bersatu menerima bahagian terbesar - 34.38 peratus daripada jawatan menteri dan 39.47 peratus daripada jawatan timbalan menteri.

Umno pula mendapat 28.13 peratus daripada jawatan menteri dan 21.05 peratus daripada jawatan timbalan menteri.

Anggota Parlimen PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) - yang masing-masing merangkumi 15.79 peratus daripada jumlah wakil rakyat PN - turut mendapat jawatan yang kurang dalam dua kategori itu.

Anggota Parlimen GPS diperuntukkan 12.5 peratus daripada jawatan menteri manakala PAS pada kadar 9.38 peratus. Dalam pelantikan timbalan menteri, GPS mendapat 10.53 peratus dan PAS 13.16 peratus.

Kesamaan dalam hasil

Dengan tiga daripada empat blok utama dalam kerajaan mendapat jawatan menteri dan timbalan menteri yang tidak berkadar dengan jumlah kerusi mereka, ada baiknya dilihat sama ada pentadbiran Muhyiddin 'meredakan' parti-parti komponen dengan lantikan politik yang lain.

Menurut kiraan Malaysiakini setakat ini, ada 39 pelantikan dalam agensi kerajaan, pihak berkuasa pelabuhan, GLC, badan-badan dan duta-duta khas.

Jawatan ini lazimnya diiringi gaji, manfaat dan paling utama, sumber kewangan.

Dalam kategori ini, pemenang terbesar adalah Umno, dengan mendapat 28.21 peratus daripada pelantikan utama, disusuli PAS (25.64 peratus) dan GPS (20.51 peratus).

Bersatu memegang 17.95 peratus daripada jawatan-jawatan ini.

Akan tetapi, walaupun dengan sejumlah pelantikan politik ini, pembahagian jawatan untuk anggota Parlimen masih tidak saksama.

Jawatan untuk Umno berkadar lebih rendah dengan peratusan anggota Parlimennya, manakala PAS dan GPS mendapat jawatan dengan kadar lebih banyak.

Dengan tidak mengambil kira mereka yang bukan anggota Parlimen, terdapat 62 anggota Parlimen yang sama ada berada dalam Kabinet atau menjadi timbalan menteri, serta 29 anggota Parlimen dengan jawatan khas.

Seorang anggota Parlimen (Faizal Azumu, Bersatu-Tambun) menjadi menteri besar dan seorang lagi (Rashid Hasnon, Bersatu-Batu Pahat) sebagai timbalan speaker.

Dengan itu, PN mempunyai 23 "anggota Parlimen biasa". Dalam kumpulan ini, lebih separuh, iaitu 13, daripada Umno. Ia disusuli dengan Bersatu dan PAS, dengan masing-masing tiga orang.

Ini bermakna satu daripada tiga anggota Parlimen Umno dan satu daripada 15 anggota Parlimen Bersatu, tidak dilantik dalam sebarang jawatan.

Dengan kata lain, dalam konteks ini lebih beruntung untuk menjadi anggota Parlimen Bersatu memandangkan 93.75 peratus daripadany mendapat gaji kedua, manakala Umno pula 66.67 peratus.

Untuk menjadi saksama, semua parti dalam PN sepatutnya mempunyai kadar "anggota Parlimen biasa" yang sama.

Bagaimanapun keadaan ini boleh berubah dalam minggu-minggu akan datang kerana pentadbiran Muhyiddin mungkin akan mencari atau mewujudkan sejumlah jawatan untuk "anggota Parlimen biasa".

Tetapi ada pengecualian

Apa yang pelik, ada parti dalam gabungan PN yang mendapat lebih berbanding apa yang sepatutnya.

Secara keseluruhan, semua anggota Parlimen daripada tujuh parti - PBRS, PBS, Star, PRS, SUPP, PDP, MCA dan MIC - memiliki jawatan tambahan.

Semua anggota Parlimen dalam "kelab 100 peratus" ini sama ada menjadi menteri atau timbalan menteri, kecuali PRS (seorang timbalan menteri, seorang lantikan politik), SUPP (seorang lantikan politik) dan PDP (dua lantikan politik).

Bagaimanapun, pengecualian paling jelas adalah MCA, yang mendapat satu jawatan dalam kabinet, empat timbalan menteri dan tiga lantikan politik, walaupun parti itu hanya memegang dua kerusi Parlimen.

Tiga anggota MCA dijadikan senator terlebih dahulu sebelum boleh dilantik sebagai timbalan menteri.

Berbeza keadaannya dengan MIC - parti komponen ketiga dalam BN - yang tidak mendapat apa-apa jawatan selain satu kedudukan menteri. 

Kebanyakan 13 "anggota Parlimen biasa" Umno merupakan ahli politik yang sangat senior dan berpengalaman. Bagaimanapun ada di kalangan mereka yang sedang berdepan perbicaraan jenayah di mahkamah.

Tokoh yang paling ternama dalam kumpulan itu adalah Najib Razak (Pekan), yang berdepan sejumlah pertuduhan pengubahan wang haram, rasuah dan salah guna kuasa melibatkan 1MDB dan SRC International.

Bagaimanapun ada juga dalam kumpulan ini yang dikatakan akan dilantik ke jawatan penting. Spekulasi mengatakan Mohd Nizar Zakaria (Parit) akan mengetuai sebuah GLC manakala Azalina Othman Said (Pengerang) akan menjadi timbalan speaker Dewan Rakyat.

 

Laporan berkaitan:

Data tunjukkan parlimen tak sebebas seperti sepatutnya

Muhyiddin ada majoriti 2 kerusi

Azmin duduk di kerusi nombor dua parlimen


Lihat Komen
ADS