Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes positif Covid-19 Kelantan dibawa perantau hamil

Kes Covid-19 direkodkan semula di Kelantan apabila seorang wanita hamil pulang ke kampungnya di Kuala Krai dari Selangor untuk bersalin anak kedua, kata sumber.

Menurutnya wanita terbabit melakukan perjalanan dari Ampang, Selangor, ke sebuah kampung di daerah Kuala Krai pada 15 Mei lalu.

Katanya berdasarkan keterangan daripada wanita terbabit, perjalanan itu dibuat memandangkan usia kandungannya memasuki minggu ke-35.

"Apa yang bahaya, pesakit ini melakukan pergerakan dalam keadaan dia tidak mempunyai tanda-tanda Covid-19 seperti demam atau batuk.

"Wanita berkenaan pulang ke kampungnya pada 15 Mei dan ia tiada kaitan dengan perjalanan Gerak Malaysia. Rasanya dia balik untuk bersalin," katanya kepada Malaysiakini di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu, selepas lebih sebulan bebas daripada Covid-19, Kelantan kembali mencatatkan satu kes ketika wabak itu masih mengancam dunia. Kali ini ia direkodkan di Kuala Krai.

Perkara itu disahkan secara tidak rasmi olen Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan Dr Izani Husin.

Menurutnya, wanita terbabit kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) manakala ahli keluarganya dikuarantin di rumah.

Semalam kes wanita tersebut viral di media sosial dengan pelbagai dakwaan dan spekulasi.

Antara lain wanita itu dikatakan keluar ke klinik, menziarahi nenek dan keluarga mentuanya.

Sementara itu sumber yang rapat dengan Jabatan Kesihatan Kelantan itu berkata, seramai 20 individu dikuarantin termasuk ahli keluarga mangsa.

"Seramai 20 individu dikuarantin termasuk ahli keluarga dan kakitangan klinik kesihatan yang dikunjungi wanita berkenaan," jelasnya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS