Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid enggan ulas spekulasi lobi jawatan TYT Melaka

Bekas setiausaha politik Dr Mahathir Mohamad, Zahid Mat Arip enggan mengulas lanjut susulan dakwaan usahanya dalam melobi jawatan Yang di-Pertua Negeri Melaka.

Dakwaan itu muncul berikutan tempoh penyandang jawatan tersebut, Dr Mohd Khalid Yaakob yang dijadual bakal tamat 4 Jun ini.

“Saya tak berniat nak komen (ulas) apa-apa. Saya tak ambil kisah benda itu semua.

“Tak penting bagi saya, orang nak cakap apa, mereka boleh cakap,” katanya secara ringkas ketika dihubungi Malaysiakini.

Terbaharu, Malaysia Dateline melaporkan nama Zahid, cucu Ghafar Baba, bekas ketua menteri Melaka dan bekas timbalan perdana menteri, disebut-sebut bagi menggalas jawatan itu kerana merupakan individu yang berjasa menaikkan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Malah, Dr Mahathir juga pernah mendakwa bahawa bekas setiausaha politik beliau itu sangat memusuhinya.

Malah, Mahathir mendakwa Zahid menepuk meja dalam satu mesyuarat Bersatu yang kemudian melarat sehingga membawa kepada runtuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Februari lalu.

Beliau juga memberi gambaran bahawa idea itu ada kaitan dengan kedudukan bekas setiausaha politik terbabit yang berdepan dengan kes mahkamah.

“Ya, dia berkempen untuk keluar daripada PH. (Cadangannya) kita adakan kerajaan Melayu dan kempen ini menggunakan sentimen orang Melayu. Saya berpendapat, memang bagus kalau kita ada kerajaan Melayu tetapi kita kena jaga juga sumbangan yang dibuat oleh orang Cina.

"Tetapi dia (setiausaha politik) ada masalah dengan mahkamah. Dia minta saya suruh tahan mahkamah daripada bicara kes dia. Itu tidak boleh dan saya tidak boleh buat. Jadi dia begitu bermusuh dengan saya," katanya dalam wawancara Sinar Online pada 12 Mac lalu.

Dr Mahathir membuat dakwaan tersebut beliau tidak menamakan bekas setiausaha politik tersebut namun dipercayai merujuk kepada Zahid, yang juga merupakan bekas pembantu khas Isa Samad.

Isa kini berdepan 10 tuduhan rasuah dan pecah amanah semasa beliau menjadi pengerusi Felda. Dalam perbicaraan itu, Zahid adalah seorang daripada saksi yang dipanggil memberi keterangan.

Nama Zahid dikaitkan dalam sembilan daripada 10 pertuduhan yang dikenakan ke atas Isa.

Sebelum ini Zahid juga antara pemimpin Pemuda PKR pada peringkat awal gerakan reformasi sebelum dia meninggalkan parti itu untuk menyertai Umno.

Dia juga menjadi mursyidul am kepada kempen Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (Tibai).

Sementara itu, Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali menjelaskan bahawa beliau tidak tahu menahu berkenaan perkara tersebut.

“Saya tidak tahu.

"Luar dari bidang tugas dan tiada kena mengena ,” katanya secara ringkas ketika dihubungi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS