BERITA

Pua: Sejauh mana agihan subsidi gaji PKS RM13.8 bilion?

Diterbitkan
Dikemaskini 22 Mei 2020, 1:31 tengahari

Anggota Parlimen Damansara, Tony Pua mempersoalkan keberkesanan kerajaan dalam memberikan subsidi gaji RM13.8 bilion untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Pemimpin DAP itu bertanya sekiranya perusahaan akan mendapat bantuan subsidi gaji tepat pada waktunya sebelum perniagaan mereka terpaksa gulung tikar dan memberhentikan pekerja.

Beliau merujuk kepada statistik terkini yang diberikan oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz bahawa kerajaan telah meluluskan pembayaran subsidi gaji RM2.24 bilion pada 17 Mei untuk membantu dua juta pekerja.

"Ini hanya 16 peratus daripada jumlah keseluruhan yang diperuntukkan," maklum Pua.

"Kenapa begitu? Adakah syarikat-syarikat berkenaan tidak memerlukan subsidi gaji jadi mereka tidak bersusah payah untuk memohonnya? Sekiranya demikian, itu berita baik bagi kami," katanya pada webinar anjuran badan pemikir tempatan awal hari ini.

"Tetapi jika ini kerana terlalu banyak kesukaran dan terlalu banyak sekatan (untuk pemohon memohon), maka program subsidi gaji RM13.8 bilion pada dasarnya hanyalah sekadar angka rekaan.

"Jumlah yang kita lihat sebenarnya adalah RM2.24 bilion yang diluluskan untuk agihan," katanya.

Gambar hiasan: Gerai makanan industri PKS.

Beliau mempersoalkan tempoh masa yang diambil untuk peruntukan diagihkan kepada majikan yang permohonannya telah diluluskan.

Pua turut menyoal jumlah pinjaman yang telah diluluskan oleh kerajaan dan apakah pinjaman tersebut telah sampai kepada PKS.

Kerajaan kali pertama mengumumkan pakej subsidi gaji RM5.9 bilion pada 27 Mac tetapi meningkat kepada RM13.8 bilion pada 6 April.

Pua berkata penting untuk memantau keberkesanan pelaksanaan dan pemberian pelbagai bantuan yang dinyatakan dalam pakej rangsangan ekonomi Prihatin bernilai RM260 bilion.

Menurutnya, hal ini dengan mengambil kira pakej rangsangan RM17 bilion yang diumumkan pada era bekas perdana menteri Najib Razak di mana kadar pengambilan pinjaman yang dijamin oleh kerajaan hanya sekitar 10 peratus.

"Oleh demikian, ia tidak berkesan pada akhirnya," kata Pua.

[Baca berita penuh]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.