BERITA

Moratorium Bank Rakyat untuk pelanggan RM6 bilion

Bernama

Diterbitkan

Jumlah moratorium yang diberikan oleh Bank Rakyat kepada pelangan-pelangannya mencecah sehingga RM6 billion, kata Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Rosman Mohamed.

“Moratorium atau tanggungan pembayaran yang kita beri selama enam bulan itu melibatkan jumlah RM1 bilion yang kita tidak kutip pada setiap bulan selama enam bulan.”

Walaupun jumlah itu amat besar, ianya adalah satu usaha yang terpaksa dibuat.

“COVID-19 ini bukan satu perkara yang kita minta dan bukan sahaja pihak kerajaan yang kena membantu tetapi semua lapisan masyarakat. Kita perlu memberi sokongan yang padu agar ekonomi kita dapat dipulihkan,” katanya dalam satu temubual di “Ruang Bicara” Bernama TV.

Walaupun bank itu amat prihatin, proses susulan dan pengambilan hutang akan dibuat dengan tegas.

“Bank Rakyat sedang mengenalpasti kaedah untuk mengutip hutang ini. Ini adalah tanggungjawab bersama, teruama selepas tempoh moratorium berakhir. Jika anda mahu melihat Bank Rakyat terus berjaya dan membuat bayaran dividen, Bank Rakyat kena maju.”

Katanya, pemberian moratorium itu bermakna ada kos yang perlu ditanggung oleh pihak bank.

“Pada hujungnya, bank perlu berprestasi dan merekodkan kejayaan. Kalau bank tak berjaya macam mana kita nak menjana ekonomi pada masa-masa akan datang,” tambah Rosman.

Bank Rakyat mempunyai lebih kuräng 1.3 juta pelanggan dan aset bernilai RM109 bilion.

Disamping moratorium yang diumumkan sebagai sebahagian daripada pakej rangsangan ekonomi khusus bagi menghadapi pandemik COVID-19, Bank Rakyat juga memperuntukan sejumlah RM300 juta dibawah kempen BRCares.

Bantuan itu disalurkan kepada kepada koperasi, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), usahawan wanita dan perniagaan mikro serta segmen perniagaan teras runcit yang terjejas akibat pandemik.

“Sebanyak RM50 juta kita khususkan kepada usahawan wanita, RM50 juta untuk usahawan mikro dan RM200 juta kepada koperasi kecil termasuk PKS. Matlamat utama adalah untuk membantu mereka. Malahan kita berikan mereka penangguhan bayaran selama sembilan bulan.

Melangkah ke hadapan, beliau berkata Bank Rakyat sedang melihat kepada idea untuk membuka beberapa cawangan mini, terutamanya di kawasan luar bandar seperti di Sabah dan Sarawak yang tidak mempunyai perkhidmatan perbankan serta kewangan. "

“Kita sedang memikirkan alternatif yang serupa di Kelantan dan Terengganu. Semuanya dalam perancangan.

"Buat masa ini, Bank Rakyat mempunyai 147 cawangan dengan lebih daripada 990 mesin juruwang automatik (ATM) termasuk Mesin Deposit Tunai (CDM) serta 183 Ar-Rahnu X'Change di seluruh negara. Bagaimanapun, ini perlu dirancang dengan teliti memandangkan ia melibatkan perbelanjaan modal dan kos operasi.

Beliau ketika bercakap mengenai pengembangan ke luar negara memberitahu Brunei dan Indonesia menjanjikan prospek yang menarik.

"Kita belum bersedia (untuk ke luar negara). Tetapi, baru-baru ini Kerajaan Brunei ada meminta kerjasama. Mungkin itu satu permulaan dan wujud unsur yang sama di Indonesia. Mungkin ini kita akan perhatikan perkara ini tetapi untuk berbuat demikian, saya kena pastikan dalaman Bank Rakyat stabil dahulu. Kita perlu berhati-hati. Kalau kita rugi, ia akan memberi kesan kepada bank secara keseluruhan. "

- Bernama

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.