BERITA

Lapan klinik kesihatan di T'ganu beroperasi semasa cuti raya

Bernama

Diterbitkan

Lapan Klinik Kesihatan (KK) di Terengganu beroperasi seperti biasa pada cuti hujung minggu ini bermula semalam dan cuti Aidilfitri pada Ahad dan Isnin bagi mengurangkan kesesakan di Unit Kecemasan hospital di negeri itu.

Pengarah Kesihatan Negeri Dr Nor Azimi Yunus berkata arahan untuk lapan klinik itu beroperasi pada cuti hujung minggu dan Aidilfitri bermula 22 hingga 25 Mei adalah yang pertama kali dilaksanakan.

"Sebelum ini, operasi di Klinik Kesihatan dihentikan sepanjang tempoh cuti perayaan Aidilfitri. Namun, arahan kesiapsiagaan operasi klinik kesihatan ini dibuat setelah mempertimbangkan beberapa faktor yang terperinci terutama situasi semasa pandemik COVID-19 di Malaysia amnya dan di Terengganu khususnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Lapan klinik tersebut ialah KK Padang Luas di Besut; KK Batu Rakit di Kuala Nerus, KK Batu 2 1/2 di Kemaman, KK Rahmat di Setiu, KK Hiliran di Kuala Terengganu, KK Kuala Berang di Hulu Terengganu, KK Bukit Payung di Marang dan KK Kuala Dungun di Dungun.

Nor Azimi berkata arahan itu juga demi memastikan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat tidak terjejas di samping memperkukuh strategi pencegahan dan kawalan penularan COVID-19 dalam komuniti melalui pengesanan awal jangkitan itu.

--Bernama

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.