BERITA

AG disahkan negatif Covid-19, jalani kuarantin di rumah dua minggu

Diterbitkan
Dikemaskini 23 Mei 2020, 5:04 pagi

Peguam Negara Idrus Harun bakal menyambut Aidilfitri di bawah kuarantin rumah selepas menghadiri mesyuarat pascakabinet yang turut dihadiri seorang pegawai yang disahkan positif Covid-19.

Idrus mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa dia telah diuji negatif tetapi masih perlu dikuarantin di rumah selama dua minggu.

"Saya boleh mengesahkan bagi diri saya. Hasil saya negatif tetapi sebagai kontak rapat, saya telah ditempatkan di bawah kuarantin selama 14 hari menurut seksyen 15 Akta 342," katanya dalam pesanan WhatsApp hari ini.

Seksyen 15 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Jangkitan 1988 meliputi pemerhatian atau pengawasan terhadap kontak rapat dan menyatakan bahawa seseorang pegawai diberi kuasa boleh memerintahkan supaya mana-mana kontak menjalani pemerhatian di mana-mana tempat dan bagi apa-apa tempoh yang difikirkannya patut, atau menjalani pengawasan sehingga dia boleh dilepaskan tanpa membahayakan orang ramai.

Idrus mengulas laporan bahawa selain Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang juga diuji negatif tetapi perlu menjalani kuarantin, pegawai-pegawai atasan dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Audit Negara telah diarah kuarantin setelah terdedah kepada pegawai tersebut.

Pegawai yang positif Covid-19 itu kini menjalani rawatan di hospital.

Malaysiakini sedang menghubungi SPRM dan Jabatan Audit Negara untuk mendapatkan ulasan.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.