Malaysia mencatatkan 48 lagi kes Covid-19 baru, menjadikan jumlah keseluruhan kes jangkitan yang dicatatkan adalah sebanyak 7,185.

Setakat tengah hari tadi, 53 lagi pesakit sembuh sepenuhnya, menjadikan jumlah keseluruhan yang pulih dari jangkitan wabak itu ialah 5,912, atau 82.1 peratus daripada keseluruhan kes.

Mengambil kira kes yang sudah sembuh, jumlah kes aktif Covid-19 di Malaysia ialah 1,158 kes.

Dalam sidang media hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes baru yang dilaporkan terdiri daripada 4 kes import dan 44 penularan tempatan.

Daripada 44 jumlah jangkitan tempatan itu, 25 kes melibatkan warga asing dengan 21 daripadanya dikesan di depoh imigresen Semenyih.

Sebanyak sembilan pesakit kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan lima kes memerlukan bantuan pernafasan.

Noor Hisham juga hari ini memaklumkan tiada kematian baru dilaporkan, menjadikan jumlah korban akibat Covid-19 di Malaysia kekal sebanyak 115 kes.

Noor Hisham berkata, kerajaan kini menganggap depoh tahanan imigresen Semenyih sebagai kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) walaupun tidak diisytiharkan secara rasmi.

"Kita (KKM) telah mengambil 1,752 sampel (untuk ujian) yang terdiri daripada 1,631 tahanan dan 121 kakitangan. Setakat ini 21 diuji positif," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.