BERITA

PM pimpin takbir raya bersama jemaah menteri

Diterbitkan
Dikemaskini 23 Mei 2020, 1:32 tengahari

Walaupun perintah kawalan pergerakan bersyarat membataskan sambutan Aidilfitri esok hari, namun sebagaimana kelazimannya, takbir raya akan bergema selepas Maghrib hari terakhir Ramadhan.

Istimewanya pada tahun ini, rakyat Malaysia disajikan sebuah video rakaman bacaan takbir raya secara berjemaah yang dipimpin Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Video sepanjang 4 minit 52 saat itu, disiarkan menerusi laman Facebook Muhyiddin Yassin dan stesen-stesen televisyen malam ini.

Pada video yang dirakam di Putrajaya itu dipaparkan, Muhyiddin berbusana baju Melayu berwarna merah jambu sedang duduk bersila bersama barisan jemaah menteri dan wakil-wakil petugas barisan hadapan.

Susun aturan jemaah dilihat mematuhi prosedur operasi standard menjaga jarak satu sama lain.

Turut kelihatan, Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki bin Ali, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Affendi Buang, Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud dan Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Mulai semalam, perdana menteri menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari.

Ini susulan kehadiran beliau dalam mesyuarat pascakabinet di Pejabat Perdana Menteri (PMO) di Putrajaya pada Rabu lalu yang dihadiri seorang pegawai yang positif Covid-19.

PMO berkata ujian saringan pagi tadi mengesahkan Muhyiddin negatif.

Bagaimanapun, menurut Perintah Pengawasan dan Pemerhatian bagi Kontak Covid-19 (Seksyen 15(1) Akta 342), beliau perlu menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari.

“Semua ahli mesyuarat tersebut juga telah diarahkan agar menjalani ujian saringan dan kuarantin di rumah masing-masing selama 14 hari bermula hari ini,” menurut PMO.

PMO juga menegaskan setiap mesyuarat yang diadakan di PMO mengamalkan penjarakan sosial dan penjagaan kesihatan yang ketat pada setiap masa.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.