Parti Reformasi Insan Malaysia (Prim) memohon satu "inquest" diadakan dalam tempoh tujuh hari untuk menyiasat pembunuhan seorang bapa mangsa rogol yang berlaku di Kuala Lumpur semalam.

Parti yang belum berdaftar tersebut meluahkan rasa dukacita kerana pembunuhan itu masih berlaku selepas 10 laporan polis dibuat mengenai ancaman "kumpulan gengster" terhadap keselamatan keluarga itu.

"Perkara ini sekali lagi menunjukkan kegagalan dan kecuaian pihak polis dalam memberi perlindungan kepada rakyat," kata P Uthayakumar, Penasihat Perundangan Jawatankuasa Pemerhati Polis dan Hak Asasi Prim dalam surat parti itu kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Menurut laporan China Press , pada tengah malam hari Rabu, mangsa pembunuhan menerima panggilan telefon kumpulan gengster untuk keluar berunding. Mereka dikatakan menghendakinya membatalkan laporan polis mengenai kes rogol anaknya.

Laporan itu berkata, apabila beliau membantah, beliau diserang oleh hampir 30 orang penjenayah dan ditetak dengan parang berkali-kali di kepala, badan belakang dan tangannya.

Pemungut sampah yang berumur 36 tahun itu meninggalkan seorang isteri yang berumur 26 tahun dengan empat anak yang berumur satu hingga sembilan tahun.

Menurut laporan China Press , anaknya yang berumur lapan tahun diculik oleh sekumpulan lelaki semasa beliau dalam perjalanan balik dari sekolah ke rumah dan dirogol berkumpulan di sebuah flat di Jalan Tun Razak pada 12 Julai.

Laporan itu menyatakan, selepas mangsa membuat laporan polis, keluarga mangsa diberi amaran beberapa kali oleh "kumpulan gengster".

Hilang kepercayaan

Uthayakumar menegaskan, kejadian ini mengakibatkan rakyat semakin hilang kepercayaan terhadap pasukan polis.

"Kami memohon suatu siasatan yang segera dan terperinci dijalankan, dan diselesaikan dalam tempoh dua minggu," kata beliau.

Prim menyarankan agar menteri dalam negeri memastikan pihak polis lebih serius dalam menjalankan tugas mereka.

"Pembunuhan bapa mangsa semalam adalah suatu trajedi yang tidak harus berlaku. Polis sekali lagi gagal menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka. OCPD Sentul dan Ampang harus ditahan kerja menurut Seksyen 78 Akta Polis 1967 dan Artikel 140 Perlembagaan Persekutuan," kata beliau.

Beliau menggesa supaya OCPD Sentul dan Ampang yang gagal menangani jenayah ini ditukar keluar dan digantikan dengan seorang lagi yang lebih bertanggungjawab.

"Kami tidak faham kenapa dan mengapa jenayah yang sedemikian boleh dibiarkan berlaku dalam masyarakat madani dan masyarakat penyayang negara ini," kata beliau.

Bagaimanapun, polis dilaporkan berkata pembunuhan dua hari lalu tidak berkaitan dengan kes rogol.