Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
FDAM gesa KKMM segerakan kelulusan SOP penggambaran
Diterbitkan:  May 31, 2020 7:18 AM
Dikemaskini: 7:18 AM

Kementerian Komunikasi Multimedia Malaysia (KKMM) dituntut menyegerakan kelulusan syarat gerak kerja penggambaran mengikut prosedur operasi Standard (SOP) yang  ditetapkan oleh oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim berkata sehingga kini garis panduan sepanjang menjalani penggambaran dalam tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) masih belum diwartakan.

Sedangkan katanya, Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob telah memberikan lampu hijau kepada pemain industri itu.

"Kemelut dan keresahan warga industri filem dan kandungan televisyen negara, masih belum mendapat jalan penyelesaian walaupun pelbagai usaha, janji dan kenyataan dari pelbagai pihak telah dikeluarkan.

"Melihat kepada situasi ini, FDAM berterusan menerima desakan dan aduan dari ahli- ahli serta penggiat warga golongan ini setiap hari, bagi mendapatkan kebenaran dan perlepasan pasti yang lebih jelas.

"Sedari hal ini, FDAM memohon KKMM agar mempercepatkan deklarasi SOP dengan kadar segera seperti dijanjikan MKN,"katanya dalam satu kenyataan.

Pada 12 Mei lalu Ahmad atau lebih dikenali sebagai Mat London merayu kerajaan membenarkan aktiviti penggambaran dilakukan susulan kelonggaran diberi kepada beberapa sektor industri untuk beroperasi semula berikutan pelaksanaan PKPB mulai 4 Mei lalu.

Pada 20 Mei lalu, kerajaan bersetuju untuk membenarkan aktiviti penggambaran filem, drama dan pengiklanan dalam tempoh PKPB, bermula selepas Aidilfitri.

Bagaimanapun Ismail memaklumkan syarikat produksi perlu mematuhi SOP yang ketat.

Antara SOP ditetapkan termasuklah penggambaran tidak boleh membabitkan babak yang menyaksikan berlakunya sentuhan fizikal antara pelakon, kerana ia melanggar pelaksanaan penjarakan sosial.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata seluruh penggiat seni kini berada dalam dilema, kerana ingin meneruskan penggambaran demi kelangsungan hidup.

Oleh itu, beliau turut menggesa pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang baru dilantik, Zakaria Abdul Hamid memberi keutamaan kepada isu tersebut selain mengucap tahniah atas lantikan.

"Semoga perkara ini mendapat perhatian dan mencapai titik nokhtahnya, demi memberi kelegaan kepada penggiat-penggiat filem & televisyen yang telah lama menanti terutama lebih 50 buah produksi yang telah lama berhenti dan terpaksa berhenti ekoran arahan tempoh PKP oleh MKN.

"Ini juga melibatkan hampir 60 produksi baru yang sudah bersedia untuk memulakan proses penerbitan serta kerja-kerja penggambaran," katanya.

FDAM yang ditubuhkan pada 1990 kini mempunyai kira-kira 1,200 ahli.

Lihat Komen
ADS