Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Syed Saddiq: Sokong pemecatan sebab takut kalah pemilihan?
Diterbitkan:  Jun 1, 2020 12:19 PM
Dikemaskini: 4:20 AM

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membalas kenyataan timbalan menteri belia dan sukan yang juga bekas pegawai khasnya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkenaan keanggotaannya dalam Bersatu.

Wan Ahmad Fayhsal juga antara yang bertanding merebut jawatan ketua Pemuda Bersatu (Armada) dalam pemilihan akan datang.

"Kenapa takut nak berdepan saya dalam pemilihan parti?

"Biar akar umbi memilih, bukan kerana takut kalah, terus sokong pemecatan," ciapnya di Twitter hari ini.

Ciapan itu turut melampirkan kenyataan Wan Ahmad Fayhsal yang antara lain berkata Syed Saddiq tiada hak untuk bercakap atas nama ketua Armada kerana keanggotaannya telah gugur secara automatik.

Ini kerana menurut Wan Ahmad Fayhsal, setiausaha agung Bersatu yang baru dilantik, Hamzah Zainuddin telah memberikan penjelasan terpeinci bahawa keahlian Syed Saddiq dan empat individu lain gugur secara automatik.

Beliau merujuk kepada tindakan bekas menteri belia dan sukan itu mengadakan sidang media atas nama Armada Bersatu Malaysia.

Seorang lagi pemimpin Armada Mohd Muzammil Ismail turut mengkritik sidang media itu yang didakwanya memutarbelitkan perlembagaan Bersatu.

Exco Armada itu juga seorang lagi yang akan bertanding jawatan ketua sayap itu dalam pemilihan akan datang.

Selain Syed Saddiq, mereka yang gugur keahlian adalah Dr Mahathir Mohamad, Mukhriz Mahathir, Dr Maszlee Malik dan Amiruddin Hamzah.

Minggu lalu, Hamzah berkata susulan pengguguran keahlian itu, mereka tidak lagi layak untuk bertanding dalam pemilihan parti akan datang.

Lihat Komen
ADS