Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Idris Haron dakwa PH pernah tawar jawatan ketua menteri
Diterbitkan:  Jun 1, 2020 5:42 PM
Dikemaskini: 9:46 AM

Bekas ketua menteri Melaka, Idris Haron menafikan desas-desus yang mengatakan bahawa beliau akan mengetuai empat lagi Adun Perikatan Nasional (PN) menyertai pembangkang dalam masa terdekat.

Malah, katanya, beliau pernah menolak tawaran menjadi ketua menteri PH atas "dasar prinsip" dan kesetiaan bersama Umno.

"Ketika menjadi pembangkang dan dihimpit kiri dan kanan saya tetap kekal dengan prinsip untuk terus setia bersama Umno, inikan pula apabila telah bertukar menjadi kerajaan.

"Masa menjadi ketua pembangkang banyak tohmahan dan tak kurang yang menentang saya tapi saya tetap bersama parti dan berfungsi sebagai ketua pembangkang.

"Sekarang saya ditawarkan sebagai Exco, tak akan saya nak pindah ke pembangkang sedangkan kita sekarang telah jadi kerajaan. Itu tindakan pendek akal," katanya hari ini, seperti dipetik Sinar Harian.

Sebelum ini, Adun Sungai Udang itu pernah menafikan spekulasi bahawa beliau dan beberapa lagi Adun Umno di Melaka merancang keluar PN, dan menyifatkan spekulasi itu dibuat oleh “orang gila”.

Dalam pada itu, Idris turut mengingatkan pembangkang untuk tidak memainkan isu lompat parti dalam kalangan wakil rakyat PN, memandangkan ia turut boleh terjadi kepada mereka juga.

Malah, Idris turut membayangkan sekurang-kurangnya dua wakil rakyat PH Melaka akan menyertai PN.

"Sudah banyak contoh termasuk apa yang berlaku terhadap saya. Sebelum ini saya sering bertelagah dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Norhizam Hassan Baktee dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), namun hari ini berada dalam kumpulan sama dan hubungan persahabatan itu semakin akrab," katanya.

Sebelum ini, timbul khabar angin yang mengatakan bahawa Idris yang juga exco Melaka, akan dipecat daripada jawatan yang disandangnya kerana tidak bersetuju dengan lantikan Pengerusi Umno negeri Ab Rauf Yusoh sebagai speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dan timbalannya Mohd Ali Mohamad sebagai senator.

Bagaimanapun, Idris menafikan khabar angin tersebut dengan menyifatkannya sebagai “berita palsu”.

Ketua Menteri Melaka, Sulaiman Md Ali juga menyangkal perkara itu dan menyifataknnya sebagai tidak masuk akal, dan sengaja dicetuskan pihak yang mahu mengeruhkan keadaan.

Lihat Komen
ADS